Sunday, November 27, 2022

Fikir semula, sejauh mana kita benar-benar perlukan khidmat pembantu rumah?

Secara Rawak

Dr Lee Kuok Tiung, UMS
Dr Lee Kuok Tiung, UMS

Cadangan kerajaan Filipina baru-baru ini (22 Mei) mensyaratkan setiap agensi pembantu rumah dari Malaysia meletakkan AS$50,000 sebagai bon atau deposit jaminan sedikit ebanyak menimbulkan rasa panik dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Langkah yang dicadangkan sebagai usaha membela nasib dan hak pembantu rumah dari negara mereka yang didakwa terdapat rungutan ketidakpuasan tidak dibayar gaji atau “underpaid”.

Ini merupakan suatu cadangan yang dijangka bakal menyukarkan proses pengambilan pekerja domestik dari negara berkenaan di samping meningkatkan kos pengambilan pembantu rumah.

Tidak semua agensi pekerja asing mampu menyediakan deposit yang dianggarkan berjumlah RM200,000 serta kemungkinan kos tersebut terpaksa ditanggung oleh isi rumah yang memerlukan khidmat berkenaan.

Kerajaan Indonesia sebelum ini juga telah meluahkan hasrat menghentikan penghantaran warga mereka sebagai pembantu rumah ke Malaysia secara berperingkat dan sepenuhnya pada 2017.

Sejauh manakah kebergantungan masyarakat Malaysia terhadap pembantu rumah atau amah ini khususnya dalam kalangan keluarga golongan pertengahan.

Apakah pula implikasi yang bakal muncul sebagai kesan daripada langkah kedua-dua negara berkenaan?

Barangkali tanggapan awal apabila mendengar pembantu rumah ini tanggungjawabnya ialah mengemas rumah.

Begitupun, realitinya sebahagian pembantu rumah diberikan tanggungjawab menjadi pengasuh, menjaga anak, atau jururawat menjaga orang tua di rumah.

Sementara, dalam keadaantertentu terpaksa memainkan peranan sebagai pendidik kepada anak-anak majikan.

Makanya tidak mustahil timbul persepsi berlaku eksploitasi terhadap pembantu rumah berikutan skop kerja mereka yang begitu luas.

Dalam pada itu, ramai ibu bapa yang kedua-dua suami isteri bekerja, terleka dan tidak menyedari telah menyerahkan tanggungjawab mendidik anak kepada pembantu rumah.

23428-maid1Tidak mustahil dewasa ini ada anak-anak yang lebih rapat dengan pembantu rumah berbanding ibu bapa kandung sendiri kerana lebih banyak masa anak digunakan bersama orang gaji.

Tanpa disedari juga bahasa yang pertuturan anak-anak pun seumpama loghat ala-ala bahasa pembantu rumah.

Ada kalanya terlintas dalam fikiran, entah apalah ertinya kedua-dua ibu bapa berpendidikan tinggi serta mempunyai profesion kerjaya yang tinggi, tetapi malangnya mentaliti anak-anak mereka langsung tidak sedikit pun mencerminkan diri mereka.

Adakah hal ini sebenarnya mendedahkan asimilasi yang telah berlaku pada institusi kekeluargaan kita?

Lazimnya, dahulu nenek dan datuk lebih kerap dilihat memainkan peranan membantu menjaga dan membimbing cucu mereka.

Pelbagai faktor misalannya pendapatan isi rumah, kehidupan di bandar metropolitian yang jauh dari kampung halaman, dan gaji pembantu rumah – semuanya memainkan peranan terhadap penularan trend ini.

Mungkin sudah tiba masanya kita mengupas polemik ini dan memikirkan alternatif penyelesaiannya.

Sekiranya keperluan terhadap pembantu rumah sekadar membersihkan rumah sahaja, baik dipertimbangkan secara serius menggunakan khidmat pembersih rumah seminggu atau dua minggu sekali.

Tuan rumah pun tidak perlu rungsing memikirkan perlu menyediakan tempat tinggal atau membayar segala urusan levi pekerja dan sebagainya untuk membawa masuk pekerja asing ini.

Para isteri pun tidak perlu khuatir kemungkinan si suami ada hubungan sulit dengan pembantu rumah terutama bagi yang lebih muda dan masih perawan.

Besar kemungkinan pendekatan ini turut membantu mewujudkan peluang pekerjaan baharu kepada penuntut kolej atau universiti yang memerlukan pekerjaan separuh masa untuk wang saku atau menampung yuran pengajian.

Sesungguhnya anak merupakan aset dan pelaburan jangka panjang kita.

Kehidupan esok lusa hari kita bergantung kepada mereka.

Tradisi dan legasi keluarga harus dipertahankan. Masa depan negara juga terletak pada tangan mereka. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru