Saturday, May 21, 2022

Kerja-kerja pembinaan Jambatan Long Lama bermula selepas Gawai depan

Secara Rawak

MIRI: Ahli Dewan Undangan Negeri Telang Usan, Dennis Ngau semalam memberi jaminan bahawa kerja-kerja pembinaan jambatan Long Lama akan dimulakan sepenuhnya selepas sambutan Gawai Dayak.

Menurutnya, projek bernilai RM100 juta ini sebenarnya telah bermula sejak Februari lalu, namun kerja-kerja tanah hanya akan dimulakan selepas bulan depan.

“Kontraktor kini menjalankan kerja-kerja pembinaan pejabat tapak dan kem pekerja selain melakukan pembersihan tapak.

“Saya telah diberitahu bahawa bahan binaan kini sedang dibawa ke tapak projek,” katanya selepas mengadakan lawatan dan pemeriksaan ke tapak projek tersebut di Long Lama baru-baru ini.

Dennis berkata, projek jambatan ini amat penting bagi masyarakat Long Lama dan menjadi antara projek terbesar di kawasan Telang Usan.

“Projek ini diluluskan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem atas permintaan saya pada awal tahun lepas. Ia dijangka siap pada tahun 2019,” kata Dennis.

Dengan siapnya jambatan itu kelak, ia dipercaya akan membawa kepada pembukaan dan pembangunan lebih banyak tanah oleh masyarakat tempatan di Apoh dan tengah Baram.

Kerja-kerja projek itu juga dijangka memberi ruang pekerjaan kepada penduduk Long Lama dan akan membantu meningkatkan ekonomi masyarakat setempat.

Dennis turut  meminta masyarakat setempat untuk bekerjasama dalam projek ini agar ia tidak mengalami sebarang kelewatan hingga merugikan semua pihak. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru