Thursday, August 18, 2022

Indonesia hukum mati perogol kanak-kanak

Ekoran kes rogol, rodok kemaluan Eno dengan cangkul dan kes 14 lelaki rogol-bunuh Yuyun

Secara Rawak

JAKARTA: Indonesia akhirnya memutuskan untuk menjatuhi hukuman mati dan kembiri atau pengasian kimia terhadap perogol kanak-kanak.

Presiden Joko Widodo pada Rabu lepas membenarkan hakim menghukum pesalah, sama ada dengan satu suntikan bagi mengurangkan nafsu; atau mengimplan satu mikrocip bertujuan memantau aktiviti mereka selepas menjalani hukuman penjara; atau berdepan skuad penembak.

Sebelum ini Indoensia hanya mengenakan penjara 14 tahun terhadap perogol, termasuk penjenayah rogol ke atas mangsa bawah umur.

Agensi berita China, Xinhua melaporkan Indonesia mencari beberapa pendekatan bagi menangani krisis peningkatan jenayah seksual khususnya serangan terhadap kanak-kanak di negara itu.

Indonesia turut mengisytiharkan kesalahan mencabul kanak-kanak diklasifikasikan sebagai “jenayah luar biasa” sama seperti penyalahgunaan dadah dan rasuah.

Bagaimanapun, Menteri Hak Asasi Manusia, Yasonna Laoly berkata hukuman terbaharu itu tidak akan dikenakan terhadap pesalah yang telah disabitkan sebelum undang-undang tersebut dikuat kuasa.

Dekri presiden itu menyaksikan hukuman baharu itu boleh berkuat kuasa serta-merta dengan parlimen boleh mengubahnya kemudian.

Bagaimanapun, menurut Yasonna pesalah bawah umur 18 tahun atau juvana yang merogol kanak-kanak lain dikecualikan daripada hukuman baharu itu.

Desakan bagi hukuman lebih berat ke atas pesalah seks meningkat bulan ini berikutan kes rogol beramai-ramai terhadap mangsa bernama Yuyun di Bengkulu, selatan Sumatera.

Yuyun, 14 menjadi mangsa kerakusan 14 lelaki rakus sekembalinya dari sekolah apabila dia ditangkap kemudian dirogol sebelum dibunuh kejam.

Pada pertengahan Mei lepas, sekali lagi masyarakat Indonesia digemparkan dengan kes pembunuhan gadis bernama Eno Parihah, 18 yang dirogol oleh tiga lelaki pendendam sebelum membunuhnya dengan sadis dan kejam di Desa Jatimulya, Tangerang, Banten.

Salah seorang suspek merodok kemaluan mangsa dengan hulu cangkul tanpa rasa belas kasihan sehingga dijemput maut.

Suspek menendang batang cangkul sepanjang 60 sentimeter itu sehingga menembusi rongga dada mangsa lalu mengoyak hati, paru-paru, selain mematahkan tulang leher mangsa.

Tertuduh bernama Ra, 15 mengaku terasa sakit hati kerana sering dikatakan hodoh oleh mangsa.

Sementara, Imam, 20 kesal kerana pujukannya untuk memikat sering ditolak mangsa.

Bagi Rahmad, 24 pula kecewa kerana ajakannya mengadakan hubungan seks ditolak mangsa.

Berdasarkan siasatan polis, mangsa masih hidup ketika disula dengan cangkul.

Menurut Suruhanjaya Kebangsaan untuk Wanita, keganasan seksual terhadap wanita dan kanak-kanak meningkat di Indonesia yang merupakan negara keempat padat penduduk teramai di dunia.

Indonesia turut menyertai sekumpulan negara yang melaksanakan kembiri atau pengasian kimia, termasuk Poland dan beberapa negeri di Amerika Syarikat.

Pada 2011, Korea Selatan tampil sebagai negara Asia pertama meluluskan hukuman tersebut. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru