Balu Wan Mohammad Khair-il calon BN di Parlimen Kuala Kangsar

0
7

KUALA KANGSAR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengumumkan balu bekas anggota Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, 18 Jun depan.

Mastura, 55 tahun, merupakan graduan undang-undang Lincoln’s Inn di United Kingdom dan pernah bertugas sebagai seorang peguam selama enam tahun.

Ibu kepada empat anak itu juga merupakan seorang yang aktif dalam dunia politik dan pernah menjadi Anggota Jawatankuasa UMNO Bahagian Chembong, Negeri Sembilan sebelum mengambil keputusan berehat bagi menumpukan perhatian kepada keluarga serta arwah suaminya.

PRK Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian Ahli Parlimennya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya sebelum ini menetapkan PRK Parlimen Kuala Kangsar pada 18 Jun, manakala penamaan calon pada 5 Jun.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Wan Mohammad Khair-il memperoleh majoriti 1,082 undi menewaskan calon PAS, Khalil Idham Lim Abdullah dan calon Bebas Datuk Kamilia Ibrahim.

Parlimen Kuala Kangsar mempunyai 32,949 pemilih berdaftar melibatkan pengundi biasa (32,632 orang), pengundi awal (312 orang) dan pemilih tidak hadir luar negara (lima orang).

Semalam, PAS turut mengumumkan Ketua Dewan Muslimat PAS Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad sebagai calonnya dalam PRK Kuala Kangsar.

Parti Amanah Negara dijangka akan mengumumkan calonnya pada 1 Jun. – Sarawakvoice.com