Pelan pemulihan Malaysia Airlines berjalan lancar

0
3

KUALA LUMPUR: MALAYSIA Airlines Bhd (MAB) berkata, ia telah memulakan tahun ini secara positif dengan pelan pemulihan yang dilaksanakannya berjalan lancar.

“MAB telah mendahului bajet kewangannya untuk tiga bulan pertama 2016.

“Prestasinya adalah stabil dan semakin meningkat dan indeks khidmat pelanggan syarikat penerbangan itu pulih dengan lebih banyak penambahbaikan sedang dirancang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, katanya, suku kedua dijangka lebih lemah disebabkan permintaan yang lebih lembap ketika Ramadan

Keseluruhannya, syarikat penerbangan dan kumpulan dijangka mencatat kerugian pada tahun fiskal 2016, tetapi lebih kecil daripada dibajetkan pada awal tahun, dan mendahului pelan pemulihan untuk syarikat penerbangan itu mendapat untung dengan mampan menjelang 2018,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Christoph Mueller melahirkan rasa gembiranya ke atas peningkatan berterusan yang ditunjukkan Malaysia Airlines pada tahun transformasi terbesar dan terpantas dalam sejarah syarikat berkenaan, seperti dilapor Bernama.

“Dengan bergerak pantas dan membuat beberapa keputusan sukar, kami telah membentuk semula perniagaan itu untuk masa depan yang kukuh dan mampan. Kemajuan kewangan yang dicapai pada suku ini menunjukkan kita berada pada trajektori yang betul,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, pasukan pengurusan dan Lembaga Pengarah telah memulakan perbincangan mengenai fasa pertumbuhan seterusnya dalam usaha menghubungkan lagi Malaysia dengan negara lain di dunia.

“Berikutan masalah peribadi yang membuatkan saya tidak dapat menyempurnakan penggal penuh sebagai ketua eksekutif, saya yakin asas-asas sudah ada untuk syarikat penerbangan nasional itu mencapai keuntungan mampan dalam rangka masa dinyatakan serta memperoleh kembali kedudukan sebagai simbol kebanggaan negara,” tambah Mueller.

MAB berkata, suku itu juga menyaksikan perletakan jawatan Mueller, yang memberi notis enam bulan sehingga September dalam usaha memudahkan peralihan yang teratur.

“Beliau telah melahirkan hasrat untuk terus kekal dalam Lembaga Pengarah sebagai Pengarah Bukan Eksekutif jika keadaan mengizinkan.

“Dalam usaha memudahkan peralihan yang lancar, Lembaga Pengarah telah melantik Ketua Pegawai Operasi, Peter Bellew sebagai Pengarah Eksekutif berkuatkuasa serta-merta,” katanya.