Thursday, December 8, 2022

Kerajaan rancang naik taraf pusat agihan ikut zon

Secara Rawak

KAPIT: Kerajaan merancang menambah jumlah koperasi di seluruh negara serta menaik taraf pusat pengagihan mengikut zon tertentu, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata langkah ini diambil selaras fungsi jawatankuasa pemantauan kos sara hidup untuk memastikan koperasi berupaya membantu rakyat mendapat barangan pada harga berpatutan.

Produk yang ditawarkan juga dijamin berkualiti seperti dijual di pasar raya besar, katanya kepada Bernama pada Rabu, selepas melawat Koperasi Song Kapit Bhd sempena lawatan kerja di sini.

Beliau berkata kerajaan juga bersedia membantu sektor pemborongan dan peruncitan selain menambah koperasi dalam tempoh dua tahun.

“Antara strategi jawatankuasa kos sara hidup ialah memperkasa koperasi dengan memastikan mereka mendapat bekalan mencukupi dengan jaminan harga berpatutan,” katanya.

Inisiatif ini diambil bagi menangani masalah sewa kedai yang terlalu tinggi di kawasan Kapit sehingga mencecah antara RM8,000 dan RM10,000 sebulan.

Semasa lawatan berkenaan, beliau turut mengumumkan pertambahan peruntukan sebanyak RM30,000 bagi memperkasa koperasi Song Kapit.

Song Kapit, ditubuhkan pada 2009 telah diberi peruntukan oleh kerajaan sebanyak RM98 ribu pada tahun 2010. –Bernama

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru