Sunday, August 14, 2022

Abang Johari enggan ulas isu Ketua Menteri, tiga bekas pemimpin UPP bebas sertai parti komponen BN

Secara Rawak

KOTA SAMARAHAN: Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg semalam enggan mengulas tentang sokongan yang diberikan oleh Naib Presiden Kanan parti, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berhubung kelayakannya menggantikan Tan Sri Adenan Satem sebagai Ketua Menteri Sarawak. 

Abang Johari berkata, masih terlalu awal untuk semua pihak bercakap tentang peralihan kuasa ketika ini apatah lagi negeri ini baharu sahaja selesai melaksanakan Pilihan Raya Negeri ke-11. 

“Yang perlu kita lakukan sekarang ialah memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerja dan memberikan sokongan kepada Adenan dalam mentadbir negeri,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri di UNIMAS semalam.

Pada Isnin, ketika menjawab soalan wartawan, Awang Tengah dipetik berkata, Abang Johari sememangnya layak dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Menteri seterusnya menggantikan Tan Sri Adenan Satem sebagai Ketua Menteri Sarawak suatu hari kelak.

Sementara itu, Timbalan Presiden PBB itu turut memberi jaminan bahawa prinsip perkongsian kuasa dalam kalangan parti komponen BN di negeri ini akan tetap terpelihara biarpun terdapat beberapa wakil rakyat calon langsung BN memilih menyertai parti itu.

“Walaupun jumlah ADUN yang mewakili kita semakin bertambah, kita tidak tamak. Kami mahu berkongsi kuasa dengan parti-parti komponen atas semangat Barisan Nasional, “katanya.

Timbalan Ketua Menteri mengulas permohonan tiga bekas calon langsung BN, Datuk Dr Jerip Susil (Mambong), Ranum Mina (Opar) dan Dr Johnical Rayong Ngipa (Engkilili) untuk menyertai PBB pada Rabu lalu.

Sebelum itu, enam calon langsung BN lain yang diketuai Tan Sri William Mawan Ikom turut berbuat demikian, dengan mengemukakan borang permohonan ahli kepada Adenan.

Kata Abang Johari, ibu pejabat parti PBB telah menerima permohonan mereka untuk menyertai parti itu, dan keanggotaan ketiga-tiga mereka, akan diputuskan oleh Majlis Tertinggi parti.

“Mereka telah memohon kepada kami, tetapi kami akan memberikan mereka masa. Jika mereka ingin memohon kepada mana-mana parti komponen lain, mereka bebas untuk berbuat demikian. 

“Ia terpulang kepada mereka. Ia adalah pilihan mereka. Tetapi oleh kerana mereka telah mengemukakan permohonan, kita akan bawa permohonan ini dalam mesyuarat Majlis Tertinggi.” 

Majlis Tertinggi parti dijangka mengadakan mesyuarat pada 5 Jun depan. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru