Sunday, August 14, 2022

Abang Johari anggap beliau layak jadi KM sebagai isu pramatang

Secara Rawak

KOTA SAMARAHAN: Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg enggan mengulas lanjut berhubung cakap-cakap politik yang mengatakan beliau merupakan tokoh layak menggantikan Datuk Patinggi Tan Sri Adenan bagi jawatan Ketua Menteri yang akan datang.

Ketika ditanya wartawan berkaitan mengenai isu tersebut, Abang Johari berkata: “Ia (isu) pramatang, yang kita lakukan sekarang adalah memberi tumpuan terhadap tugas dan menyokong Ketua Menteri (Adenan),” tegasnya.

Terdahulu, Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengakui bahawa Abang Johari merupakan calon paling layak menggantikan Adenan sebagai Ketua Menteri Sarawak seterusnya.

Berdasarkan peraturan PBB yang digubal pada 2002, pemilihan jawatan Ketua Menteri tidak semestinya berdasarkan kepada posisi kekananan dalam parti, tetapi ditentukan oleh jemaah kaukus yang terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri, Anggota Parlimen dan Ahli Dewan Negara.

Sewaktu kaukus bersidang pada Januari 2014 bagi memilih pengganti Tun Abdul Taib Mahmud, Setiausaha Politik Negeri dan Pusat turut sekali menghadiri mesyuarat tersebut yang kemudian memberi kuasa mutlak kepada Abdul Taib menentukan bakal penggantinya.

Berdasarkan perkembangan politik terbaru, PBB mempunyai 46 ADUN, 15 Ahli Parlimen, 2 Ahli Dewan Negara. Parti itu juga mempunyai 14 Setiausaha Politik Negeri dan 5 Setiausaha Politik Persekutuan.

Sebelum itu, ketika ditemui wartawan selepas merasmikan Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri di Detar Putra Universiti Malaysia Sarawak pada Khamis lepas Abang Johari memberi jaminan bahawa prinsip perkongsian kuasa bersama parti komponen Barisan Nasional (BN) terus diamalkan di Sarawak.

Abang Johari berkata PBB tidak mengamalkan politik tamak kuasa meskipun terdapat penambahan bilangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang terdiri daripada calon langsung BN menyertai parti itu.

Abang Johari mengulas isu ini ketika ditanya kedudukan tiga ADUN yang merupakan calon langsung BN yang belum mempunyai parti iaitu Datuk Dr. Jerip Susil (Mambong), Ranum Mina (Opar) dan Dr. Johnical Rayong Ngipa (Engkilili) yang menyerahkan borang permohonan menyertai PBB Rabu lalu.

“Kita telah menerima permohonan ketiga-tiga mereka yang telah diserahkan kepada ibu pejabat PBB dan keputusan mengenai perkara itu akan diputuskan pada Mesyuarat Majlis Tertinggi PBB nanti,” jelasnya.

Ditanya sekiranya tindakan ADUN tanpa parti itu memberi kebimbangan kepada parti komponen BN lain Abang Johari berkata mereka diberi kebebasan jika mahu menyertai parti komponen lain.

“Namun, memandangkan mereka menyerahkan borang permohonan menyertai PBB, kami akan melihat perkara ini menerusi Mesyuarat Majlis Tertinggi PBB nanti,” tambahnya.

Pada Rabu, Setiausaha Eksekutif PBB Awang Bujang Awang Antek berkata, keputusan permohonan ketiga-tiga ADUN tanpa parti yang mahu menyertai PBB itu akan diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PBB, 5 Jun nanti. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru