Mahukah Wong Soon Koh terjun dari tingkat 5 dengan Mawan?

0
3

KUCHING: Tidak banyak yang punya nasib sebaik seperti Wong Soon Koh. Betapa tidak, walau tidak punya parti bekas Presiden Parti Rakyat Bersatu (UPP) berpeluang untuk dipilih menjadi anggota kabinet negeri Sarawak.

Sarawak, memang unik dan mahu sentiasa unik. Tidak berapa lama dahulu, oh ya, sekitar dua tahun lalu, mereka yang tidak lagi berada dalam parti komponen Barisan Nasional, juga masih lagi berada dalam kabinet Sarawak.

Maksudnya, mereka masih lagi menjadi menteri dan juga menteri muda. Walhal, mereka sudah pun ditendang keluar dari parti komponen BN.

Sesungguhnya, semua itu adalah prerogatif Ketua Menteri. Siapa yang boleh persoal prerogatif Ketua Menteri?  

Bukankah Ketua Menteri hampir mempunyai hak mutlak untuk melantik siapa yang difikir wajar atas alasan apa-apa pun?

Isu berkaitan dengan pelantikan Wong Soon Koh masih belum reda. Malah, baru-baru ini, bukan sembarangan orang mempersoal bagaimana Wong Soon Koh yang juga dikenali sebagai WSK, berada dalam kabinet? Atas platform mana beliau boleh berada dilantik sebagai Menteri Kewangan Kedua? Bagi orang PRS, kenyataan Masing tempoh hari, bukannya mempertikaikan prerogatif Ketua Menteri, tetapi atas rasa ingin tahu.

Kalau mahu memenuhi rasa ingin tahu, kenapa mengemukakannya melalui media? Tidak bolehkah Masing bertanya langsung kepada Ketua Menteri, atau beliau tidak berani bertanya langsung kepada Adenan? Kemungkinan itu tidak mungkin, kerana hakikatnya, Masing seorang yang berani dan lantang bersuara.

Dalam kenyataannya beberapa hari lalu, Adenan meminta supaya perkara berkaitan dengan pelantikan calon langsung, termasuk Wong ke dalam Kabinet tidak lagi dipersoalkan. Tentu Masing faham akan implikasi dan maksud Ketua Menteri.

Masing bukan lagi Masing kerana Masing sekarang bukan lagi Masing yang dahulu. Masing sekarang ialah Timbalan Ketua Menteri. Itulah sebabnya, kata-kata yang keluar dari mulutnya membawa makna dan implikasi yang lebih besar.

Selepas ini, sesiapa pun masih boleh kekal dalam kabinet walaupun parti terbabit telah memecatnya. Yang penting dan utama asalkan bagi Ketua Menteri, wakil rakyat berkenaan berhak untuk berada dalam kabinet.

Wong dan rakan-rakan calon langsung BN yang bertanding dalam pilihan raya pada 7 Mei lalu belum lagi menyertai mana-mana parti atau memohon untuk menyertai mana-mana parti.

Sekurang-kurang mantan presiden Teras William Mawan Ikom dan dua lagi rakannya daripada Teras, memohon untuk menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Wong dan rakan-rakannya dikatakan dalam perundingan untuk menyertai SPDP. Mungkinkah itu berlaku? Apakah perkembangan terkini hasrat berkenaan? SPDP memang membuka pintunya kepada Wong dan wakil rakyat daripada parti berkenaan.

Wong sebenarnya tidak ada pilihan. Tidak mungkin untuk mereka mewujudkan semula UPP. UPP tidak mungkin diterima menyertai BN kerana yang pasti Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan SPDP akan menentangnya.

Tidak mungkin UPP boleh selamanya menjadi mesra BN. Ini adalah istilah untuk menghalalkan parti terbabit berada dalam BN.

Hakikatnya, isu berkaitan UPP dan Teras perlu diselesaikan secara muktamad. BN Sarawak tidak boleh membenarkan kes yang sama berulang pada masa depan. Ia tentu tidak baik untuk kestabilan dan survivalnya.

Konflik dan intrig pasti akan berlalu. Justeru, itulah sebabnya, isu berkaitan dengan parti yang mesra BN ini tidak boleh dibiarkan berlarutan.

Ada apa dengan Wong? Apa kesudahan Wong dan rakan-rakannya?  Adakah Wong akan terjun dari tingkat lima seperti Mawan?

Ketidakpastian tidak boleh dibenarkan berlarutan.

Segalanya, kata orang serba mungkin dalam politik. Yang tidak mungkin jadi mungkin kerana adanya pemimpin politik seperti Wong.

Survival politik menjadi tunjang utama walau pemimpin politik berkata, mereka berjuang untuk rakyat. – Sarawakvoice.com