Wahai YB, bersedialah untuk dikritik

0
3

KUCHING: Tiga hari lalu Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr James Masing  mengingatkan wakil rakyat daripada suku kaum Dayak agar berani berhadapan dengan sebarang  kritikan daripada rakyat yang memilih mereka.

Hakikatnya,  nasihat itu tidak sepatutnya hanya ditujukan kepada wakil rakyat atau YB kaum Dayak, tetapi juga kepada semua wakil rakyat yang menang dalam pilihan raya 7 Mei lalu.

Malah, Masing mengakui bahawa dia sendiri sedia diperbetulkan jika hal yang dia lakukan  tidak betul.

Kita tabik  hormat kepada orang seperti Masing yang bersedia ditegur dan dikritik.

Masing yang lantang dan berani bercakap benar, juga perlu bersedia dikritik oleh mereka yang tidak kurang lantang.

Dalam mengkritik, memang ada adab dan caranya. Yang penting, setiap kritikan perlu bersandarkan kebenaran, dalil dan justifikasi yang kukuh. Tujuan asas kritikan bukannya untuk mengaibkan atau menjatuhkan seseorang, tetapi untuk memperbaiki sesuatu perkara atau keadaan.

Kelihatannya, beliau sedar bahawa sebagai pemimpin, memang wajar rakyat mengkritik dan memperbetulkan wakil rakyat.

Yang meletakkan mereka di kerusi berkenaan ialah rakyat yang mengundi mereka.

Wakil rakyat perlu sedar bahawa tugas dan tanggungjawab mereka adalah untuk meletakkan kepentingan rakyat atas segala-galanya.

Pemimpin bukannya serba sempurna, sama juga dengan rakyat yang bukannya serba sempurna. Tetapi berbeza daripada rakyat biasa, pemimpin perlu bertanggungjawab terhadap segala kata-kata dan tindak-tanduk atau keputusannya. Rakyat mengharapkan agar pemimpin sentiasa mempertimbangkan semua perkara sebelum sesuatu dasar dan keputusan diambil.

Rakyat berhak mempertikaikan, mengkritik dan menegur pemimpin yang menyalah guna kuasa, menyeleweng atau melakukan rasuah. Pemimpin bukan hanya perlu bersih tetapi perlu kelihatan bersih.

Menjadi tugas dan tanggungjawab wakil rakyat untuk menyelesaikan masalah rakyat. Jangan sampai masalah berkenaan hanya diberikan perhatian menjelang pilihan raya atau waktu kempen. Satu ironi, mengapa masalah yang wujud untuk lima tahun tiba-tiba dapat diselesaikan beberapa hari sebelum hari mengundi.

Memang betul kata Masing, wakil rakyat tidak seharusnya berasa gentar apabila ada rakyat yang cuba membetulkan perkara yang sumbang.

Seyogia diingat, negeri dan negara ini bukan hanya hak milik pemimpin politik. Rakyat juga punya saham dan tanggungjawab untuk memastikan negeri dan negara ini berada di atas landasan yang betul.

Tidak ada rakyat yang mahu melihat negeri ini mundur. Setiap orang mahu melihat Sarawak terus maju dan makmur.

Disebabkan pemimpin dan wakil rakyat telah diberi tanggungjawab untuk melaksanakan tugas mereka, maka rakyat mengharapkan mereka menjalankan tugas tersebut dengan sebaik mungkin.

Pemimpin politik perlu berlapang dada dan bersikap terbuka, dengan berusaha untuk memperbaiki sebarang kelemahan yang diketengahkan. Namun, rakyat pula perlu mengkritik dengan cara yang beradab dengan menggunakan bahasa yang sesuai. – Sarawakvoice.com