KUALA LUMPUR: Biro Politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bermesyuarat malam tadi mengarahkan naib presidennya Rafizi Ramli menyerahkan bukti berkaitan dakwaan rasuah wang dan wanita dalam kerajaan Selangor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Biro politik telah membuat ketetapan bahawa Saudara Rafizi Ramli perlu membawa bukti-bukti yang ada pada beliau terus ke pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” kata presidennya Datuk Seri Wan Azizah Ismail dalam satu kenyataan yang dikeluarkan  malam tadi.

Dalam kenyataannya lewat malam tadi, Azizah berkata biro itu juga akan meneliti dakwaan terbabit dan anggotanya yang terlibat akan dihadapkan ke jawatankuasa disiplin.

Lima hari lalu, Rafizi yang juga setiausaha agung PKR berkata laporan berhubung tuduhan habuan wang dan permintaan perempuan dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor akan diserahkan kepada Wan Azizah untuk tindakan selanjutnya.

Rafizi berkata, tuduhan  berkenaan bukan terhadap individu yang menjawat kerusi wakil rakyat,baik di Dewan Negeri, Dewan Rakyat atau Dewan Negara sama ada yang masih berkhidmat atau telah bersara, atau mana-mana kakitangan kerajaan di mana-mana jabatan di bawah Kerajaan Selangor. – Sarawakvoice.com