Friday, September 30, 2022

Polis Kuching buru tahanan lari dari kamar mahkamah semalam

Secara Rawak

KUCHING: Polis Kuching hari ini menggiatkan usaha memburu seorang suspek kes judi yang melarikan diri ketika dibawa untuk mendapatkan perintah tahanan reman di kamar Mahkamah Majistret, Kompleks Mahkamah Kuching dekat sini semalam.

54a8b766-5bd0-42a9-b6b8-cf67cd02d3af (1)Lelaki terbabit, yang dikenali sebagai Bakri Shuib, 39 tahun, dari Kampung Tabuan Melayu melarikan diri bersama-sama rakannya, Ahmad Jamel Za’aba Muhammad,23 tahun juga dari kampung yang sama dipercayai kerana tidak berpuas hati dikenakan tahanan reman selama dua hari.

Kedua-dua suspek menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Ernest John, kemudian enggan digari dan bertindak menepis tangan anggota polis yang ditugaskan mengawal mereka sebelum melarikan diri melalui pintu utama kamar mahkamah.

“Ketika kejadian, anggota terbabit dan rakannya mengawal 19 orang kena tuduh atas pelbagai kesalahan untuk tujuan mendapatkan reman tahanan.

“Sebelum itu, kedua-dua suspek tersebut ditahan bersama-sama sepuluh yang lain sekitar jam 12.30 pagi 24 Mei kerana terlibat dalam kesalahan Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Ernest berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, Ahmad Jamel berjaya ditahan semula sekitar jam 2.23 petang semalam di sebuah rumah di Kampung Tabuan Hilir dekat sini oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kuching.

Polis kata Ernest, sedang menjalankan siasatan rapi berhubung insiden itu, yang turut disaksikan oleh pegawai mahkamah dan majistret.

“Kita juga sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup mengenai kejadian ini bagi mengenal pasti sama ada berlaku kerana kecuaian dan sebagainya,” katanya. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru