Friday, October 7, 2022

Mentaliti kemenangan perlu diteruskan ketika bersaing dalam Piala Malaysia — Sudarsono

Secara Rawak

KUCHING: “Kalau mentaliti kita hendak menang, kita akan sentiasa memburu kemenangan. Walaupun dengan sesiapa pun … kita tidak akan gentar. Tidak kira mereka pasukan yang kuat ataupun pasukan kerdil,” kata Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Datu Sudarsono Osman, semalam mengulas lawan yang akan ditemui Sarawak dalam saingan Kumpulan A Piala Malaysia nanti.

Katanya, profil pasukan lawan tidak harus menjadi halangan dalam perlawanan peringkat ini, kerana sesiapa yang bermain dengan baik, dan para pemainnya berada dalam keadaan cergas, pasukan itu akan berupaya mencipta kemenangan.

Kumpulan A ini kata Sudarsono, menarik kerana selain Sarawak yang berasal di kepulauan Borneo, terdapat pasukan dari utara iaitu Kedah, pasukan dari timur, T-Team dan pasukan dari selatan JDTII.

“Ia tidak berdasarkan kelompok geografi dan saya percaya ia akan menjanjikan pertemuan serta saingan yang sengit dan terbuka,” katanya.

Katanya, kejayaan mana-mana pasukan pada format baharu Piala Malaysia ini juga bergantung kepada ketahanan dan kecergasan pemain.

“Maksud saya seluruh pemain dalam pasukan baik kelompok kesebelasan utama mahupun barisan pemain simpanan.

“Sebabnya, jadual perlawanan begitu ketat dan padat dengan saingan dalam pusingan kedua Liga Super dan Piala Malaysia disekalikan.

“Saya percaya ini pasti mengundang masalah kecergasan pemain dan mendatangkan kepenatan,” katanya.

Oleh itu tambahnya, hanya pasukan yang dapat kembali pulih dan cergas dalam tempoh yang pantas akan dapat bermain dengan baik.

“Saya berharap pasukan Sarawak yang kini dalam momentum kemenangan dapat mengadaptasi situasi ini, dan kesemua pemain dalam keadaan bersedia untuk diturunkan kesebelasan utama.

Menyentuh tentang prestasi meningkat pasukan itu di bawah kendalian jurulatih baharu, David Usop, Sudarsono berkata, para pemain seharusnya tidak dibuai oleh dua kemenangan itu.

“Ini kemenangan ketiga kita dalam 13 perlawanan. Ya, memang ia saat yang menggembirakan. Tetapi dua kemenangan terakhir itu adalah menentang pasukan yang sama, Perak.

“Ada 11 lagi pasukan yang perlu dihadapi sepanjang musim ini yang memiliki corak dan rentak permainan yang berbeza.

Oleh itu tegasnya, para pemain tidak harus cepat berpuas hati dan harus mengekalkan semangat berpasukan yang ada. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru