Saturday, December 3, 2022

Adenan kekal sihat, berkerusi roda hanya kerana terseliuh kaki

Secara Rawak

KUCHING: Tan Sri Adenan Satem mengejutkan hadirin di majlis pelancaran buku “The Story Behind The Villages in Lundu District” hari ini dengan hadir menggunakan kerusi roda.

Bagaimanapun difahamkan beliau hanya kepenatan dan terpaksa menggunakan kerusi roda kerana terseliuh di pergelangan kaki.

Pun begitu, beliau tetap naik ke atas pentas dan berucap dengan nada berseloroh dan bergurau, membayangkan betapa Ketua Menteri yang berusia 72 tahun ini seorang yang cekal.

Adenan mengesahkan kesihatannya amat baik di sebalik pelbagai spekulasi yang mengatakan keadaan kesihatannya merosot hingga terpaksa menjalani rawatan di negara Singapura pada minggu lalu.

“Saya memang agak keletihan selepas pilihan raya, kerana sebelum pilihan raya negeri lalu, saya agresif umpama seekor harimau.

“Tapi jangan bimbang. Saya hanya sakit selepas jam 6 petang apabila tidak ada apa-apa yang hendak saya lakukan, namun saya akan segera pulih,” katanya.

Pada majlis tersebut, Adenan berterus terang beliau terpaksa mengingkari nasihat doktor peribadinya yang memintanya berehat, kerana majlis yang dihadirinya itu amat penting.

“Maaf doktor, saya terpaksa ingkar kerana Lundu amat dekat di hati saya,” katanya lagi.

Menurut sumber, Adenan menjalani pemeriksaan susulan jantungnya di Singapura setelah bekerja keras memimpin Barisan Nasional Sarawak mencipta kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri.

Adenan sebelum ini pernah berhadapan saat getir berikutan masalah jantung, namun bantuan teknologi perubatan terkini membolehkan beliau kembali pulih dan dapat bergiat aktif semula dalam politik.

Buku “The Story Behind The Villages in Lundu District” yang dilancarkan Adenan merupakan tulisan Setiausaha Sulitnya, Azmi Bujang, yang mengabadikan asal usul nama 80 buah kampung di Daerah Lundu.

Penulisan ini dimulakan pada tahun 2011 ketika beliau menjawat Pegawai Daerah ke-44 Daerah Lundu dari tahun 2008 hingga 2013.

“Daerah Lundu dan Daerah Kecil Sematan mempunyai 99 kampung tetapi 19 daripadanya berkongsi nama yang sama, cuma dibezakan oleh kaum yang menghuninya,” ulas Azmi dalam ucapan aluannya.

Daerah Lundu yang terletak di lokasi paling selatan Sarawak berada dalam Bahagian Kuching dan kini memiliki populasi sekitar 37 ribu penduduk. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru