338 km jalan raya luar bandar Sarawak perlu dibina setahun dengan kos RM1.9 bil

0
3

KUCHING:  Bagi memastikan sasaran 4,402 km jalan raya luar bandar dapat dibina menjelang 2030, kerajaan perlu mencapai sasaran membina purata 338 km setiap tahun dengan anggaran kos RM1.9 bilion.

“Jika kita mahu menyiapkannya pada waktu yang ditetapkan, kita perlu membina 330 km jalan setiap tahun, yang menelan belanja RM1.9 bil. Itu tugas yang mencabar.”

Membina jalan raya di luar bandar merupakan satu cabaran besar bagi Sarawak, dengan 5,000 penempatan yang berselerak. Tugas itu semakin sukar kerana saiznya sebesar Semenanjung Malaysia, apatah lagi keadaannya yang berbukit-bukau dan dirintangi dengan banyak sungai.

Dengan penduuduk sekitar 2.7 juta, kepadatan penduduk sekilometer per segi ialah 20 orang.

Sebanyak RM24.8 bilion diperlukan bagi tempoh 14 tahun akan datang untuk membina 4,402 km jalan raya luar bandar bagi memungkinkan 1,000 penempatan, iaitu perkampungan dan rumah panjang dihubungkan melalui sistem pengangkutan.

Perkara tersebut dinyatakan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr James Jemut Masing kepada pemberita selepas merasmikan “Road Connectivity Lab 2016” di sini, semalam.

9a4e8c52-0c14-4c75-ac40-fbedf99c1e43

Persoalannya, menurut Masign ialah sama ada kita mempunyai wang untuk membina jalan berkenaan. Dalam hal ini, beliau berkata, kutipan daripada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) setahun dari Sarawak ialah RM2 bilion, dan kita perlukan RM1.9 bilion untuk membina jalan raya.

“Kita ada duit, tetapi adakah kerjaan Malaysia punya keazaman politik untuk memungkinkan perkara itu berlaku?” katanya.

Bagi Masing, banyak lagi yang perlu dilakukan, tetapi membina jalan raya adalah penting bukan sahaja untuk menghubungkan penempatan penduduk, tetapi juga bagi merangsang pertumbuhan dan pembangunan.

Dari segi jalan raya, Masing berkata, bahagian seperti Sibu, Mukah, dan Kapit adalah di bawah 70 peratus dari segi liputan.

Ketiadaan jalan raya dan kualiti jalan raya yang rendah merupakan antara isu yang sering dibangkitkan oleh penduduk menjelang pilihan raya. – Sarawakvoice.com