Wednesday, June 29, 2022

Tiga penjuru di dua PRK: PAS nekad, PKR dan Amanah berminat

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Amanah dalam kenyataan media Pengarah Komunikasinya, Khalid Samad memutuskan menawar diri mewakili Pakatan Harapan (PH) bertanding di kedua-dua Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Kenyataan media berkenaan menyebut, rundingan pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berunding dengan PAS agar kedua-dua PRK berjalan secara satu lawan satu, menemui jalan buntu.

PH menawarkan formula satu lawan satu, dengan PAS bertanding di Kuala Kangsar, sementara PH di Sungai Besar.

PAS sebaliknya membuat keputusan nekad menghantar wakil di kedua-dua PRK yang membawa maksud pertembungan tiga penjuru melawan Barisan Nasional (BN) tidak dapat dielakkan.

Memetik kenyataan media tersebut, “Amanah sudah menjangka bahawa Pas akan menolak apa-apa usaha untuk meminta mereka menarik diri dari bertanding sama ada di Sungai Besar ataupun Kuala Kangsar.

“Ini kerana PAS yakin mereka cukup kuat untuk memenangi dua kerusi tersebut atas kekuatan diri mereka sendiri, tanpa bantuan mana-mana pihak.”

Oleh itu Amanah mengesyorkan PKR agar menerima kenyataan bahawa Pas tidak akan menarik diri sebaliknya tumpuan perlu diberi bagi mengukuhkan cabaran PH di dua kerusi tersebut.

Bagi Amanah, sudah cukup masa dan usaha ditumpukan untuk berunding dengan PAS. Umum mengetahui PAS menolak usaha ini, oleh itu persoalan tiga penjuru yang bakal berlaku bukan hasil kehendak dan sikap PH.

Masih percaya dengan rundingan secara diplomasi, Presiden PKR Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail percaya masih ada ruang untuk berunding dengan PAS berhubung calon pembangkang pada PRK akan datang.

“Bagi saya, kita masih mempunyai masa sebelum hari penamaan calon (5 Jun) dan pilihan raya kecil (18 Jun). Masih ada ruang untuk berbincang.

Ketika ditemui pemberita di lobi parlimen, Wan Azizah berkata pembangkang masih perlu berbincang demi rakyat dan perlu berfikir untuk rakyat.

Ketika ditanya adakah beliau percaya, rundingan akan berjaya, Wan Azizah berkata: “Kita boleh cuba.”

Presiden Amanah, Mohamad Sabu adalah antara calon senarai pendek bertanding di Sungai Besar.

Calon lain yang disebut-sebut bertanding ialah Salahuddin Ayub dan Muhammad Nizarf Jamaluddin.

Nampaknya, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang cuba menggunakan formula pertembungan tiga penjuru di Sarawak.

Jika Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali boleh meletakkan calon menentang DAP dan PAS semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang lepas sehingga berlakunya pertembungan tiga penjuru, mengapa pula dalam dua PRK kali ini kaedah yang sama tidak boleh berlaku?

Bagi Hadi, walaupun “bertembung” dalam pilihan raya, parti pembangkang masih dapat berbincang selepas pilihan raya.

Justeru, PAS putus, nekad dan bertekad bertanding di PRK Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

“Hubungan masih macam biasa. (Tapi) kita tetap akan bertanding (dalam PRK),” kata Hadi kepada pemberita di ibu pejabat parti PAS di Kuala Lumpur selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat PAS.

Beliau berkata jawatankuasa pilihan raya PAS akan mengumumkan calon parti itu untuk PRK berkenaan tidak lama lagi.

Bagi Hadi, sekiranya benar sekalipun Azmin menggertak PAS supaya mengosongkan jawatan exco negeri jika membantah formula bertanding PRK tersebut, beliau berkata PAS sedia kehilangan jawatan exco negeri di Selangor.

Kedua-dua kerusi tersebut kosong ekoran kematian penyandangnya, Datuk Noriah Kasnon (Sungai Besar) dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad (Kuala Kangsar) yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru