Friday, August 19, 2022

Polis Sarawak tidak kompromi individu salah guna laman sosial untuk cetus huru-hara — Pesuruhjaya Polis Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Tiada kompromi. Pantau dan ambil tindakan.

Itu ikrar Pesuruhjaya Polis Sarawak yang baharu, Datuk Mazlan Mansor terhadap mana-mana individu yang menyalahgunakan laman sosial untuk menyebarkan fitnah dan menghuru-harakan negara ini.

Dalam majlis perbarisan bagi mengalu-alukan pelantikannya di Ibu Pejabat Polis Kontijen Sarawak hari ini, Mazlan berkata, langkah-langkah pencegahan itu penting memandangkan kandungan media sosial hari ini sarat dengan pelbagai dakyah yang tidak benar.

“Meskipun kes-kes ini tidaklah serius di Sarawak berbanding negeri-negeri lain namun tindakan pencegahan awal adalah pilihan yang tepat untuk mengekang perkembangan dan penularannya.

Katanya, saluran media sosial hari ini amat tajam dalam mengasah pemikiran semua pihak.

“ Oleh itu, jika terbukti wujud elemen fitnah dalam setiap sebaran bahan di laman sosial ini, kita tidak akan berlengah untuk mengambil tindakan ke atas mereka yang bertanggungjawab,” katanya.

Mengulas Rang Undang-Undang Agensi Antidadah Kebangsaan (Pindaan) 2016 yang diluluskan di Dewan Rakyat baru-baru ini, Mazlan berkata polis bersedia bekerjasama dengan agensi terbabit dalam usaha membanteras aktiviti jenayah dadah di negeri ini.

“Kita akan sesuaikan dan selaraskan (dengan AADK) khasnya dalam penugasan harian.

“Apabila diluluskan Dewan (Rakyat), maka kita akan ikut,” katanya.

Pada masa yang sama menurutnya, polis akan terus menggandakan usaha untuk menurunkan indeks jenayah di negeri ini, dan tidak teragak-agak untuk menggunakan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA), dengan penjenayah yang disyaki boleh ditahan sehingga 60 hari tanpa perbicaraan.

“Ini strategi terbaik yang dapat menurunkan serta mengawal keadaan selain mengurangkan kadar jenayah di Sarawak ,” katanya.

Berkait tugasan baharu ini, Mazlan beriltizam untuk memperkukuhkan polis Sarawak selari dengan Pelan Strategik PDRM 2015-2020.

Menerusi pelan enam tahun itu, bidang seperti penguatkuasaan undang-undang, ketenteraman dan keselamatan awam, pencegahan jenayah, penyiasatan dan pendakwaan serta risiko keselamatan akan diberikan penekanan,  selain pengukuhan organisasi polis itu sendiri bagi membolehkan ia mencapai piawaian kepolisan bertaraf dunia, katanya. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru