ISTANBUL: Spekulasi punca jatuhnya pesawat Mesir EgyptAir MS804 Khamis lepas, bertambah ganjil selepas munculnya pengakuan dua juruterbang Turki, terlihat UFO (Unidentified Flying Object), sebelum EgyptAir dilaporkan hilang.

Juruterbang dan kopilot Turkish Airlines melihat UFO berkenaan ketika pesawat terbang pada ketinggian 17,000 kaki sekitar 11.30 malam, pada Khamis di ruang udara Turki, dalam wilayah Silivri, Istanbul.

“Sebuah objek tak dikenali bercahaya hijau melintas 2,000 ke 3,000 kaki di atas kami. Objek tersebut tiba-tiba hilang. Kami menjangka ia adalah UFO,” kata juruterbang Turkish Airlines ketika menghubungi Menara Kawalan Udara Lapangan Terbang Ataturk, Istanbul seperti dikutip Hurriyet Daily News dan turut diwartakan oleh Mirror, Isnin lepas.

Turkish Airlines terbang dari kota pelancongan Bodrum menuju Istanbul pada malam Khamis, sama waktu dengan pesawat malang EgyptAir dilaporkan hilang.

Namun, pihak Pengarah Jenderal Lapangan Terbang Negara berkata, mereka tidak mengesan apa-apa isyarat pun di layar radar berkaitan objek berkenaan.

Setakat ini, pasukan pencari Mesir sudah menemui bahagian jasad penumpang, serpihan dan barangan penumpang di tengah laut, 290 kilometer sebelah utara Iskandariah.

Penemuan dua kotak hitam mampu mengungkap misteri tragedi yang menimpa pesawat yang dalam perjalanan dari Paris, Perancis menuju Kaherah di Mesir. – Sarawakvoice.com