Wednesday, December 7, 2022

Elak bergantung komoditi, S’wak anjak kepada pengurusan ekonomi mapan

Secara Rawak

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Haji Zohari Tun Abang Haji Openg berkata, Kerajaan Sarawak sedia menganjak sistem pengurusan ekonomi kini kepada sistem ekonomi lebih mapan.

Ini bertujuan mengelak kebergantungan dengan komoditi sedia ada seperti kelapa sawit, minyak dan gas serta bahan galian lain termasuk arang batu, antimoni dan sebagainya.

“Bagi mengelak terlalu bergantung dengan pengeluaran komoditi, Sarawak harus mengubah pengurusan ekonomi, sekali gus memastikan perkembangan ekonominya berterusan,” katanya.

Abang Johari yang juga Menteri Perumahan dan Urbanisasi berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Sijil Kem Aspirasi Pelajar Kelab 1Malaysia 2016 di Kolej Multimedia (MMC) Sarawak, di Kuching pada Isnin.

13248513_1099469736793261_3536643892940494719_o

Beliau berkata, kerajaan tetap memberikan penekanan terhadap pembangunan kawasan luar bandar bagi memastikan komoditi atau sumber hasil pertanian dapat ditambah nilai.

Menurut Abang Johari, generasi muda masa kini perlu mempraktiskan pemikiran inovatif bagi memenuhi hasrat kerajaan menjadikan sumber manusia sebagai penggerak utama ekonomi negeri.

“Kita di Sarawak hendak berhijrah kepada sistem ekonomi yang lebih tinggi daripada apa yang ada sekarang ini iaitu sektor perkhidmatan.”

Justeru, sistem ekonomi kita harus dipertingkatkan menerusi sumber manusia yang tinggi dan ini berteraskan kepada inovasi, sebab itu belia perlu lebih inovatif supaya ekonomi dapat dipertingkatkan.

Menurut beliau, walaupun Sarawak hanya mempunyai 2.7 juta penduduk berbanding populasi 7 bilion penduduk dunia, namun Sarawak berjaya menjadi peserta ekonomi global.

Kejayaan Sarawak ini ternyata dibantu dan dipacu melalui perkembangan teknologi dan ekonomi tanpa sempadan.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan menjelaskan, kerajaan yakin walaupun populasi penduduk Sarawak kecil, namun ia tidak menjadi faktor yang membantutkan pembangunan ekonominya.

“Tidak semestinya kita perlu menambah populasi penduduk Sarawak untuk memastikan pembangunan ekonomi negeri ini.

“Kini, kita sudah menjadi peserta ekonomi global,” tambahnya.

Sarawak negeri hampir seluas Semenanjung, mempunyai hanya kurang 10 peratus daripada populasi negara keseluruhannya yang berjumlah sekitar 31 juta.

Keluasan tanah mampu membekalkan komoditi mentah sehingga memberi nilai tambah kepada kepesatan ekonominya.

Sungguhpun begitu, sumbangan daripada sumber ekonomi lebih mapan seperti bidang sains dan teknologi mampu menjadikan ekonomi negeri lebih berdaya saing.

Abang Johari menegaskan, “Kamu sudah menjadi pemain global dan sebab itu kamu harus bijak menguruskan sumber yang ada dan kamu harus berinovasi untuk menambah nilai agar kegiatan ekonomi dapat ditingkatkan.”

Generasi muda masa kini umpama “enjin” yang akan menggerakkan sektor perkhidmatan di bawah sistem ekonomi berteraskan sumber manusia.

“Itulah harapan kita, gunakan ilmu dan pengetahuan yang kamu peroleh dengan memanfaatkan penggunaan teknologi demi meningkatkan ekonomi negeri,” kata beliau. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru