Sunday, August 14, 2022

Abang Johari layak ganti Adenan sebagai Ketua Menteri Sarawak – Awang Tengah

Secara Rawak

KUCHING: Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan malam tadi mengakui bahawa Timbalan Presiden parti itu, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg adalah calon paling layak untuk menggantikan Tan Sri Adenan Satem sebagai Ketua Menteri Sarawak.

awang tgh_0000Menjawab soalan wartawan selepas majlis Malam Sekalung Budi Seikhlas Penghargaan di sebuah hotel terkemuka di sini malam tadi, beliau berkata, perkara tersebut bagaimanapun tertakluk kepada pilihan Adenan sendiri bagi menamakan penggantinya.

Beliau sebelum itu diminta mengulas tentang pelantikan Abang Johari sebagai Timbalan Ketua Menteri, yang disifatkannya sebagai amat layak.

Berdasarkan peraturan PBB yang digubal pada 2002, pemilihan jawatan Ketua Menteri tidak semestinya berdasarkan kekananan dalam parti tetapi ditentukan oleh jemaah kaukus yang terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri, Anggota Parlimen dan Ahli Dewan Negara.

Sewaktu kaukus bersidang pada Januari 2014 bagi memilih pengganti Tun Abdul Taib Mahmud, Setiausaha-Setiausaha Politik Negeri dan Pusat turut sekali menghadiri mesyuarat tersebut yang kemudian memberi kuasa mutlak kepada Abdul Taib untuk menentukan siapa penggantinya.

Berdasarkan perkembangan sekarang, PBB mempunyai 46 ADUN, 15 Ahli Parlimen, 2 Ahli Dewan Negara. Parti itu juga mempunyai 14 Setiausaha Politik Negeri dan 5 Setiausaha Politik Persekutuan.

Menjawab soalan berhubung pelantikannya sebagai anggota Kabinet Sarawak, Awang Tengah yang menang tanpa bertanding di DUN Bukit Sari pada pilihan raya negeri yang lalu berkata, beliau pada mulanya mahu memberikan perhatian kepada satu kementerian sahaja.

“Tetapi Ketua Menteri masih mengekalkan saya untuk mengetuai dua kementerian dan saya berjanji akan melakukan yang terbaik berdasarkan kemampuan saya,” katanya semalam.

Dalam pengumuman senarai kabinetnya pada 13 Mei lalu, Awang Tengah telah dinamakan sebagai Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II dan Menteri Perindustrian, Pembangunan Usahawan, Perdagangan dan Pelaburan.

Kabinet Negeri kali ini katanya, lebih fokus dengan portfolio untuk menteri-menteri muda lebih khusus.

Kabinet Adenan mempunyai 10 menteri, 19 menteri muda dan 11 kementerian. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru