Wednesday, December 7, 2022

Mansuh segera pembekuan pengambilan baharu penjawat awam: Cuepecs

Secara Rawak

KUCHING: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) hari ini menggesa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) agar memansuhkan segera pembekuan pengambilan penjawat awam, terutama bagi menampung kekosongan penjawatan peringkat bawahan.

Azih Muda
Azih Muda

Presidennya, Datuk Azih Muda, berkata tindakan itu perlu untuk memastikan jentera pentadbiran berjalan lancar sambil meningkatkan kecekapan sistem penyampaian dan kualiti perkhidmatan kerajaan.

Katanya, wujud kekosongan di antara 21,000 hingga 25,000 jawatan dalam perkhidmatan awam setiap tahun, terutama di peringkat bawahan.

“Oleh itu, kami menyokong kekosongan ini perlu diisi segera seperti yang diumumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tritahunan CUEPACS Sarawak, di sini semalam.

Hadir sama Pengerusi CUEPACS Sarawak, Ahmad Malie.

Jelas Azih lagi, SPA perlu melakukan penyelarasan segera, lebih-lebih lagi selepas arahan rasmi ini dikeluarkan.

Alasan bahawa keadaan ekonomi negara tidak begitu baik tidak lagi relevan kerana harga minyak mentah dunia sudah kembali stabil.

Malah katanya, ekonomi domestik negara juga menunjukkan peningkatan memberangsangkan.

“Jadi, mengapa perlu terus mengekalkan pembekuan ini terlalu lama.

“CUEPACS berasakan bahawa pengambilan dan pengisian kekosongan jawatan ini tidak akan memberi tekanan belanjawan kepada negara.

Sebaliknya katanya, langkah mengisi kekosongan ini amat baik kerana selain memberi peluang pekerjaan kepada rakyat ia juga memberikan keyakinan bahawa negara ini kini berada dalam keadaan baik,” katanya. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru