Tuesday, November 29, 2022

Ketua Taliban Afghanistan, Mullah Akhtar Mansour terbunuh, Obama bersorak

Secara Rawak

HO CHIN MINH: Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama hari ini mengesahkan bahawa ketua Taliban Afghanistan, Mullah Akhtar Mansour terbunuh dalam satu serangan udara Amerika Syarikat, Sabtu lalu.

talibanMenganggap kematiannya sebagai “peristiwa penting” dalam usaha keamanan di Afghanistan, Obama berkata, kejayaan itu merupakan usaha menumpaskan pemimpin sebuah organisasi yang senantiasa merancang penentangan dan serangan terhadap pasukan tentera Amerika dan sekutunya.

“Mullah Akhtar juga melancarkan perang terhadap rakyat Afghanistan, dan meletakkan dirinya sebaris dengan kumpulan pelampau seperti Al-Qaeda,” katanya lagi dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Memetik agensi berita antarabangsa AFP, Obama, yang kini dalam rangka lawatan tiga hari ke Vietnam mendakwa Mullah Akhtar telah menolak sebarang usaha rundingan damai untuk menamatkan keganasan yang sehingga kini mengorbankan ramai rakyat Afghanistan yang tidak bersalah, termasuk wanita dan kanak-kanak.

Beliau menggesa pemimpin-pemimpin Taliban lain agar segera melibatkan diri dalam rundingan damai sebagai “jalan penyelesaian “ kepada konflik ini.

Mullah Akhtar yang sebelum ini berada dalam hierarki kepimpinan Taliban Afghanistan selepas berlakunya perebutan kuasa, terbunuh pada Sabtu lalu di sebuah kawasan terpencil di wilayah barat Balochistan, Pakistan.

Serbuan itu merupakan serangan AS pertama yang diketahui pada pemimpin Afghanistan Taliban di Pakistan dan mendatangkan impak yang besar kepada kumpulan militan ini.

Pakistan yang telah lama dituduh bersekongkol dengan puak Taliban, telah mengecam Amerika Syarikat atas serangan yang disifatkan sebagai melanggar kedaulatan negara itu.

Dalam kenyataannya, Obama berkata, tentera Amerika akan terus pergi menggempur apa jua ancaman kepada negara itu termasuk jika mereka berada di bumi Pakistan.

“Kami bekerja pada objektif sama dengan Pakistan. Kita akan memburu di mana jua pengganas ini berada termasuk di kawasan yang mereka fikirkan zon selamat,” katanya. 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru