Saturday, October 8, 2022

Generasi muda perlu jadikan membaca sebagai tabiat sebagai bekalan hadapi cabaran masa depan

Secara Rawak

KUCHING: Generasi muda di negeri ini disaran menjadikan membaca sebagai tabiat jika ingin berhadapan dan melepasi cabaran pada masa depan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, hanya dengan membaca, generasi muda ini dapat mempertimbang segala keputusan bersandarkan wacana intelektual dan bukannya berpaksikan emosi.

“Apabila emosi mengawal tindakan, maka kita tidak lagi dapat membuat pertimbangan dan penilaian yang baik,” katanya ketika menutup Kem 1Malaysia di Kolej Multimedia di sini semalam.

Abang Johari menjelaskan, dengan mempunyai ilmu, golongan muda ini juga akan dapat menghadapi cabaran globalisasi, yang serba-serbi bersandarkan kebebasan.

” Bagaimanapun dalam menghadapi kebebasan ini, kita perlu sedar bahawa perlu wujud jati diri yang tinggi dan ini haruslah berpandukan prinsip-prinsip yang ada pada rukun negara.

Rukun negara, katanya penting kerana ia merupakan asas untuk negara Malaysia berkembang.

“Apabila tercetus peristiwa 13 Mei 1969, pemimpin-pemimpin kita sedar bahawa masih ada ruang untuk penyelesaian terbaik untuk rakyat pelbagai agama dan kaum.

“Dan daripada ruang itulah prinsip rukunegara dilahirkan,” kata Abang Johari.

Jelas Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian itu, globalisasi menyebabkan semua rakyat terdedah kepada berita dan maklumat.

“Seorang warga global memerlukan fikiran yang global. Tanpa fikiran yang global, kita akan kalah kepada orang lain kerana kawasan permainan telah berubah.

“Kerana itulah generasi muda dinasihatkan untuk memahami sepenuhnya rukun negara ini,” tambahnya. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru