Friday, September 30, 2022

Nisbah 9:100 pesakit jantung gagal diselamatkan — Dr Sim Kui Hian

Secara Rawak

KUCHING: Nisbah sembilan daripada seratus pesakit jantung di negara ini masih gagal diselamatkan biarpun mereka mendapat rawatan serta kemudahan penjagaan kelas pertama selain dipantau doktor pakar.

Menteri Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Sim Kui Hian berkata penyakit jantung masih punca utama kematian di Malaysia dan ia disumbangkan oleh gaya hidup moden rakyat yang semakin selesa dan mengabaikan kesihatan.

“Doktor tidak dapat menyembuhkan penyakit jantung.

“Ia hanya dapat membantu mencegah atau sekurang-kurangnya melambatkan serangan berulang sakit jantung, strok dan melakukan pembedahan pintasan jantung, “katanya.

Kui Hian yang juga pakar jantung ditemui selepas merasmikan Minggu Jantung Kuching semalam.

Jelasnya lagi, biarpun dunia memiliki pelbagai kepakaran, pengetahuan terkini serta dibantu teknologi canggih untuk memastikan kesihatan penduduknya berada pada tahap yang terbaik, namun ia bukan jaminan bahawa mereka ini akan bebas daripada pelbagai penyakit, terutamanya yang berkaitan dengan kardiovaskular.

“Kita harus faham bahawa tiga arteri koronari utama jantung adalah seperti paip air yang memerlukan penyelenggaraan yang baik untuk bertahan lama.

“Paip akan tersumbat dan berkarat selepas 50 tahun, “katanya.

Sehubungan itu, katanya setiap individu perlu lebih bertanggungjawab untuk melindungi kesihatan masing-masing.

“Tingkah laku seperti merokok, makan makanan tidak sihat yang terlalu masin serta berminyak, serta pengambilan gula yang berlebihan boleh mempengaruhi kepada masalah kesihatan seperti obesiti, kencing manis dan kolesterol tinggi,” tegasnya.

Obesiti tambahnya, masih menjadi masalah utama di Malaysia dengan separuh daripada populasinya memiliki “lebihan lemak” yang membawa kepada sakit pinggang, pinggul dan lutut.

Dr Sim turut menggesa ibu bapa dan guru memainkan peranan lebih besar dalam memupuk tabiat sihat dalam kalangan kanak-kanak.

“Mereka mesti diajar menjalani kehidupan yang sihat sejak dari kecil dan dididik bahawa pencegahan kepada gaya hidup yang rosak ini menjadi kewajipan setiap individu.

“Kita perlu memantau dan mengetahui apa yang kita makan bagi mengelakkan terdedah kepada risiko obesiti,” katanya.

Kempen tiga hari itu dianjurkan oleh Yayasan Jantung Sarawak ( SHF ) dengan kerjasama Yayasan Jantung Malaysia dan antara aktivitinya termasuk ceramah kesihatan, pameran, permainan keluarga, program senaman serta aktiviti-aktiviti seni dan kraf untuk kanak-kanak. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru