Tuesday, September 27, 2022

Najib: Kerajaan sedia pelbagai bantuan modal bantu rakyat ceburi keusahawanan

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyediakan pelbagai bantuan modal untuk rakyat berpendapatan rendah menceburi bidang keusahawanan bagi mengembangkan sumber pendapatan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata antara bantuan modal itu adalah dana yang dikendalikan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB), Akhiri Zaman Miskin (1AZAM) dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).

“Dana-dana ini diberikan dalam bentuk geran, pinjaman berfaedah rendah, pinjaman dalam tempoh bayar balik selepas dua tahun dan sebagainya,” katanya dalam catatan terbaharu blog NajibRazak.com.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata keusahawanan merupakan bidang yang sangat besar manfaatnya kerana potensi pendapatannya berlipat ganda daripada pekerjaan biasa.

Namun, katanya tidak ramai yang mempunyai keyakinan untuk menceburi bidang itu kerana bimbangkan risikonya, selain ada juga yang tidak mempunyai modal untuk memulakan perniagaan.

Menurutnya tiada keyakinan dan tiada modal merupakan faktor utama yang menjadi penghalang kepada mereka yang pernah terfikir untuk menceburi bidang keusahawanan.

Bagi mereka yang bimbang dengan risiko perniagaan, Najib berkata pemberian dana-dana itu diiringi dengan latihan kemahiran.

“Sebenarnya, salah satu cara mengurangkan risiko perniagaan adalah dengan menimba ilmu pengetahuan.

“Lebih banyak pengetahuan kita dalam bidang keusahawanan dan juga pengurusan perniagaan, lebih rendah kebarangkalian kita untuk melakukan kesilapan,” kata beliau.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru