Kemiskinan faktor utama perkahwinan kanak-kanak

0
35

MELAKA – “Masalah kemiskinan dikenal pasti faktor utama berlakunya perkahwinan kanak-kanak,” kata Pengerusi Yayasan Belia Dunia Tan Sri Mohd Ali Rustam.

Beliau berkata, ramai ibu bapa miskin terutama di negara yang dibelenggu kemiskinan beranggapan beban akan berkurangan apabila mengahwinkan anak mereka pada usia muda, sedangkan perkahwinan itu lebih mendatangkan kesengsaraan kepada anak mereka.

“Selepas kahwin, kanak-kanak dipukul dan dijual oleh suaminya kerana mereka juga miskin. Jadi, masalah ini tidak berakhir jika kemiskinan itu tidak dapat dihapuskan terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Persidangan Antarabangsa Mengenai Perkahwinan Kanak-Kanak anjuran yayasan itu yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini dan dihadiri kira-kira 80 peserta mewakili 22 negara termasuk Kenya, Bangladesh, India, Singapura dan Malaysia.

Mohd Ali berkata, selain kemiskinan, tahap pendidikan juga menjadi satu lagi faktor yang menyebabkan terjadinya perkahwinan kanak-kanak kerana kekurangan pendidikan membuatkan seseorang itu terikut-ikut dengan apa terjadi di sekeliling mereka tanpa dapat menilai baik atau buruknya.

Beliau berkata, rakyat terutamanya di negara miskin mempunyai taraf pendidikan yang rendah disebabkan kekurangan sekolah serta institusi pendidikan, justeru lebih banyak sekolah dan institusi perlu dibina bagi mengatasi masalah itu.

Sehubungan itu, Mohd Ali menggesa semua pihak berganding bahu bagi menentang perkahwinan kanak-kanak kerana usaha menghalangnya memerlukan sokongan semua pihak.

Menurutnya, perkahwinan kanak-kanak adalah amalan bahaya yang boleh mengancam nyawa dan masa depan kanak-kanak perempuan di seluruh dunia.

“Perkahwinan kanak-kanak juga melanggar hak asasi kanak-kanak ini yang sepatutnya kita lindungi,” katanya.

Menurut Mohd Ali, berdasarkan laporan sebuah badan bukan kerajaan Girls Not Bride, hampir separuh daripada gadis di Asia Selatan berkahwin sebelum usia 18 tahun dan setiap tahun, 15 juta kanak-kanak perempuan berkahwin sebelum mencapai umur itu.

Yayasan Belia Dunia yang dilancarkan pada 1994 ialah sebuah badan bukan kerajaan antarabangsa yang mempunyai status perundingan dengan Majlis Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa Bersatu, bagi mempromosi penyelidikan, pembangunan dan dokumentasi program yang memberi kepentingan kepada belia seluruh dunia. – Bernama