KUALA LUMPUR: Kecekapan saat akhir peguam Jeanette Chong-Aruldoss memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan, 11 malam, beberapa jam sebelum hukuman mati dilaksanakan pagi Jumaat – berjaya menangguhkan sementara pelaksanaan hukuman mati terhadap Kho Jabing, 31.
Keputusan penuh dramatik, kerana pada sebelah petang Khamis Mahkamah Rayuan menolak rayuan Jabing.
Ini merupakan kali kedua Jabing, anak kelahiran Ulu Baram, Sarawak, berdepan kematian tertangguh.
Namun, pada pagi Jumaat, selepas mendapat peluang genting keemasan, sekali lagi Jabing tidak dapat lari daripada tali gantung!
Peguamnya Alfred Dodwell gagal menggugah keputusan hakim selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuannya.
“Anda tahu dengan baik hukuman itu sepatutnya dilaksanakan pada tahun lepas,” kata Hakim Chao Hick Tin seperti dilapor Channel News Asia Singapura.
Bagi Chao, sistem undang-undang Singapura tidak dihormati jika mahkamah membenarkan sistem yang ada dilencongkan dengan membenarkan permohonan Jabing.
Timbalan Pendakwa Raya, Francis Ng menilai, pelbagai permohonan oleh peguam yang berbeza merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.
Prosiding yang mengambil masa lebih tiga jam itu didengar di hadapan panel Hakim Rayuan Chao Hick Tin dan Andrew Phang serta hakim Woo Bih Li, Lee Seiu Kin dan Chan Seng Onn.
Chao turun menambah, peguam bela Jabing mengemukakan hujahan dan kandungan yang sama dan tiada isu sebenar dibangkitkan.
Pelaksanaan hukuman Jabing sepatutnya dijalankan pada Jumaat, tetapi peguam belanya berjaya memperoleh penangguhan sementara.
Peguamnya, Jeanette Chong-Aruldoss berjaya memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan selepas mendapat perintah Mahkamah Tinggi lewat sebelum saat akhir Jabing ke tali gantung.
Atas dakwaan membunuh pekerja binaan warga China, Cao Ruyin, 40 dalam rompakan di Geyland Drive 2008 bersama Galing anak Kujat, Jabing dijatuhi hukuman gantung pada 2010.
Susulan kajian semula ke atas undang-undang hukuman mati mandatori Singapura, Jabing berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi mengetepikan hukuman mati 2013.
Jabing kemudiannya hanya dikenakan hukuman penjara seumur hidup dengan 24 sebatan.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan sekali lagi mengangkat kes sehingga pendakwa raya berjaya mengembalikan hukuman mati kali kedua terhadap Jabing pada Januari 2015.
Mahkamah Tinggi turut menolak rayuan terakhir Jabing pada 5 April lepas.
Minggu lepas setelah menerima surat pelaksanaan hukuman mati daripada Jabatan Penjara Singapura, peguam bersama-sama keluarga Jabing secara intensif menggerakkan kempen di internet merayu Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Negeri Sarawak khususnya tampil campur tangan.
Kes trauma Jabing turut mendapat perhatian tiga kumpulan hak asasi manusia dan antihukuman mati di Malaysia.
Amnesty International Malaysia, Civil Rights Committee (KLSCAH) dan Suaram menyerahkan surat merayu Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur agar presiden republik itu memberi pengampunan kepada Jabing.
Sebelum ini Bernama melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri pernah berjanji mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem bagi mengenal pasti tindakan bagi menyelamatkan nyawa Jabing.
Peguam Jabing, Gino Hardial Singh memfailkan permohonan itu atas alasan penghakiman itu berat sebelah berikutan Hakim Pang turut terbabit dalam kes rayuan Jabing pada 2010 dan 2013.
Jabing akhirnya ke tali gantung 3.30 petang Jumaat yang dikecam oleh Amnesty Antarabangsa sebagai memalukan.
“…memalukan bahawa Kho Jabing telah dibunuh secara tergesa-gesa dan tidak senonoh, selepas rayuan terakhirnya ditolak pagi ini,” kata pejabat timbalan pengarah Amnesty Antarabangsa bagi Asia Tenggara dan Pasifik, Josef Benedict. – Sarawakvoice.com