Bukit Aman cekup 13 lelaki, seorang wanita ada hubungan dengan militan Daiesh, Abu Sayyaf

0
7

KUALA LUMPUR: Bahagian Antikeganasan Cawangan Khas Bukit Aman telah menahan 13 lelaki dan seorang wanita dalam operasi khas kerana disyaki terlibat dengan kumpulan militan Daiesh.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, kesemua mereka yang terbabit ditahan dalam operasi yang dijalankan di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Kedah , Perlis dan Johor pada 17 hingga 20 Mei lalu.

Ia susulan kepada penangkapam 15 suspek militan yang ditahan pada 22 hingga 24 Mac lalu atas alasan yang sama.

Noor Rashid berkata, tujuh daripada suspek tersebut bekerja dengan syarikat swasta, dua bekerja sendiri manakala bakinya bekerja sebagai mekanik, buruh, pelayan pusat karaoke , pembantu makmal dan juruteknik pesawat.

“Lapan suspek yang ditangkap di Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Perlis dan Johor disyaki terlibat dalam menyalurkan dana kepada kumpulan pengganas di Syria selain membantu kumpulan Abu Sayyaf di Selatan Filipina.

“Mereka dikatakan mempunyai hubungan dengan Muhammad Wanndy Mohamed Jedi – anggota kumpulan penganas Daiesh yang bukan sahaja aktif merekrut anggota baharu militan itu bahkan mengancam untuk membunuh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan pegawai tertinggi PDRM,” katanya.

Salah seorang daripada suspek kata Noor Rashid, merupakan ahli keluarga Muhammad Wanndy dan disyaki menggunakan akaun bank peribadinya sebagai pusat pengumpulan dana sebeum disalurkan kepada kumpulan militan terbabit,

“Dua lagi suspek yang berusia 28 hingga 37 tahun yang ditahan di Selangor dan Kuala Lumpur pula disyaki mempromosikan kumpulan pengganas Daiesh di laman sosial facebook manakala seorang lagi menjadikan rumahnya sebagai tempat untuk mengadakan usrah bagi mempromosi perjuangan Daiesh.

“Dua lagi suspek berusia 28 hingga 30 tahun yang ditahan di Selangor dikatakan merancang untuk menyusup masuk ke Syria dan berhajat untuk menyertai kumpulan pengganas ini pada Julai dan Ogos lalu.

“Kedua-duanya bekerja sebagai peniaga bengkel kereta dan peniaga buku online.”

Polis katanya lagi, turut menahan seorang suspek wanita yang bekerja sebagai pelayan pusat karaoke di Kuala Lumpur kerana merancang untuk menyertai perjuangan kumpulan Daiesh ini di Syria manakala seorang lagi suspek berusia 49 tahun, yang bertugas sebagai juruteknik syarikat penyelenggaraan pesawat di Lembah Kelang dicekup kerana aktif mempromosikan aktiviti kumpulan ini.

Kesemua suspek katanya, ditahan di bawah bab VIA-Kesalahan berkaitan keganasan , Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) 2012 (Akta 747). – Sarawakvoice.com