Friday, December 2, 2022

Rakyat Sarawak jalani hukuman gantung di Singapura hari ini kerana membunuh

Secara Rawak

SINGAPURA: Segala-galanya telah dilakukan, termasuk usaha Kerajaan Negeri Sarawak untuk membantu, namun Mahkamah Rayuan Singapura semalam tetap memutuskan Jabing Kho, anak kelahiran Sarawak akan berdepan hukuman mati hari ini.

Memetik Bernama, Mahkamah Rayuan tersebut menolak permohonan Jabing untuk mencabar penghakiman, yang dilihat sebagai usaha terakhir mengelak hukuman matinya yang telah dijadualkan.

Prosiding pemohonan mencabar penghakiman terhadap hukuman gantung atas kesalahan membunuh itu didengar di hadapan panel yang dianggotai Hakim Chao Hick Tin, Andrew Phang, Woo Bih Li, Lee Seiu Kin dan Chan Seng Onn.

Peguam Jabing, Gino Hardial Singh memfailkan permohonan itu atas alasan penghakiman tersebut berat sebelah berikutan Hakim Pang turut terbabit dalam prosiding rayuan Jabing pada tahun 2010 dan 2013.

Pada akhir prosiding di sebelah petang, mahkamah dimaklumkan bahawa keluarga Jabing pada sebelah pagi telah memfailkan saman pemula di Mahkamah Agung.

Peguam Jeanette Chong-Aruldoss, yang bertindak bagi keluarga Jabing, masih mengadakan pertemuan dengan hakim dalam kamar.

Minggu lepas, keluarga Jabing telah menerima surat daripada Jabatan Penjara Singapura yang memaklumkan Jabing akan menjalani hukuman gantung, hari ini.

Berasal dari Ulu Baram, Sarawak, Jabing, 31 dihukum gantung pada 2010 selepas didapati bersalah membunuh seorang pekerja binaan warga China dalam cubaan merompak di Geyland Drive di sini pada 2008.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu bersama-sama dengan seorang rakan senegerinya, Galing ak Kujat.

Bagaimanapun, Jabing berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi untuk mengetepikan hukuman itu pada 2013 susulan kajian semula undang-undang mati mandatori di Singapura.

Dia kemudian dikenakan hukuman penjara seumur hidup dan 24 sebatan.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan pendakwa raya untuk mengembalikan hukuman mati terhadap Jabing pada Januari 2015.

Mahkamah Tinggi turut menolak rayuan terakhir Jabing pada 5 April lepas. – Sarawakvoice.com

TERKINI: Rakyat Sarawak, Jabing Kho gagal dalam rayuan akhir, dihukum gantung petang tadi

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru