Rakyat Sarawak, Jabing Kho gagal dalam rayuan akhir, dihukum gantung petang tadi

0
8

SINGAPURA: Setelah usaha terakhirnya mencabar hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Rayuan gagal, lelaki yang berasal dari Sarawak, Jabing Kho menjalani hukuman mati sekitar jam 3.30 petang tadi di Kompleks Penjara Changi, dekat sini.

b64b0e00-535f-408f-8ef4-c6270a4f88bfJabing atau nama Islamnya Muhammad gagal mendapatkan penangguhan pelaksanaan hukuman mati selepas Mahkamah Rayuan menolak permohonan saat akhirnya awal pagi tadi.

Dalam status terkini facebook kakaknya, Jumai Kho petang tadi mencatatkan: “Jabing sedang menjalani hukuman mati sekarang … mari kita berdoa agar jiwanya tenang dan Allah membawa Jabing ke syurga.

Menurut Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, pihaknya turut berusaha merayu bagi pihak keluarga Jabing namun usaha itu gagal.

Jumai berkata, pihak keluarga telah bersedia untuk menghadapi situasi tersebut dan jenazah abangnya dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu 1 Islam, Jalan Kuala Baram, Miri.

Jabing telah memeluk Islam di dalam penjara dan memilih Muhammad sebagai nama Islamnya.

Pelaksanaan hukuman sepatutnya dilakukan pada subuh pagi tadi namun peguamnya berjaya memohon penangguhan sementara lewat malam tadi.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia dan kerajaan negeri Sarawak kini sedang melakukan persediaan terakhir untuk membawa balik jenazah Jabing ke Sarawak yang dijadualkan pada hari ini juga.

Berasal dari Ulu Baram, Sarawak, Jabing, 31 dihukum gantung pada 2010 selepas didapati bersalah membunuh seorang pekerja binaan warga China dalam cubaan merompak di Geyland Drive di sini pada 2008.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu bersama-sama dengan seorang rakan senegerinya, Galing ak Kujat.

Bagaimanapun, Jabing berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi untuk mengetepikan hukuman itu pada 2013 susulan kajian semula undang-undang mati mandatori di Singapura.

Dia kemudian dikenakan hukuman penjara seumur hidup dan 24 sebatan.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan pendakwa raya untuk mengembalikan hukuman mati terhadap Jabing pada Januari 2015.

Mahkamah Tinggi turut menolak rayuan terakhir Jabing pada 5 April lepas. – Sarawakvoice.com