Sunday, September 25, 2022

Naluri ganas Duterte, bakal Presiden Filipina akan dijinakkan realiti

Secara Rawak

KOTA KINABALU:  Sikap keras bakal Presiden Filipina Rodrigo Duterte dikatakan akan mengendur sesudah beliau mengambil alih jawatan itu daripada Presiden Benigno Aquino III 30 Jun nanti.

Naluri ganas beliau akan dijinakkan oleh realiti mengurus negara yang perlu akur kepada undang-undang, dan bukannya tindakan kuku besi, kata Aquino, pengkritik keras Duterte sewaktu kempen pilihan raya Presiden baru-baru ini.

Menjelang pilihan lalu, Aquino menyifatkan Duterte, 71, sebagai diktator dalam pembikinan, dan menyeru pengundi di negara 100 juta jiwa itu supaya “mengingati bagaimana Hitler” memperoleh kuasa.

“Negara kita bukan negara kuku besi, tetapi negara yang  mempunyai undang-undang,” kata beliau seperti dipetik The Wall Street Journal (WSJ).

“Gaya hiperbola atau berlebih-lebihan yang diamalkan Duterte ketika kempen akan mengendur,” katanya.

Duterte berjanji untuk mengarahkan polis menembak penjenayah dan pengedar dadah apabila berkuasa untuk tempoh enam tahun.

Beliau juga berazam meniru Singapura, dengan tidak membenarkan rakyatnya merokok di tempat awam, memadu laju dan dalam keadaan mabuk, serta mengurangkan bunyi bising bagi membolehkan rakyatnya tidur lena.

Namun Presiden Filipina yang akan tamat tempoh perkhidmatannya sekitar sebulan lebih sahaja lagi, berkata bakal Presiden yang bermulut celopar itu akhirnya akan sedar bahawa “segalanya adalah bertunjangkan  realiti tentang apa yang  boleh dilakukan, bila ia boleh dilakukan, dan bagaimana ia boleh dilakukan.”

Menurut akhbar itu, sejak menjadi Presiden pada 2010, Aquino telah berjaya merangsangkan pertumbuhan ekonomi dengan meningkatkan jumlah pelaburan asing dan pelancong, serta membanteras rasuah dengan mengikiskan imej “Orang Sakit Asia”.

Aquino berkata, pengganti beliau berjaya menangkap imaginasi rakyatnya waktu kempen dengan memberi tumpuan kepada isu yang menjadi keprihatinan rakyat, terutamanya jenayah.

Namun, beliau berkata, jenayah berat telah dapat dikurangkannya sebanyak 50 peratus berbanding pada 2014, sementara 17,000 pengedar dadah berjaya ditahan pada tahun ini.

Menjelaskan kejayaannya membanteras kemiskinan, Aquino berkata 7.7 juta telah berjaya dikeluarkan daripada cengkaman kemiskinan sejak enam tahun lalu. Pelaburan dalam kesihatan dan pendidikan, kata beliau,  akan memberi manfaat kepada jutaan rakyat dalam beberapa dekad akan datang.

Kata Aquino lagi, beliau telah berjaya mencapai objektif utama sebagai presiden: meninggalkan Filipina dalam keadaan lebih baik daripada ketika beliau mengambil alih kuasa: “Kami mewarisi banyak perkara — masalah yang wujud dekad demi dekad. Kami telah melakukan yang terbaik.” – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru