Adenan tiada hasrat pinda perlembagaan,  tambah kementerian

0
1

KUCHING: Sebanyak 11 kementerian dengan 10 anggota Menteri penuh bagi Kabinetnya, disifatkan oleh Ketua Menteri sebagai memadai setakat ini, dan untuk itu beliau tidak bercadang meminda perlembagaan negeri, dan menambah jumlah kementerian.

Jumaat lepas Tan Sri Adenan Satem mengumumkan lima menteri penuh dengan lima kementerian mempunyai  nama yang berbeza daripada sebelumnya sebagai menandakan tambahan fokus.

Ini termasuk ekonomi luar bandar, perpaduan, kesenian, perbandaran dan kesejahteraan masyarakat.

Petang semalam, Tan Sri Adenan Satem mengumumkan 18 nama menteri muda, yang dianggap mampu menjadi pasukan padu untuk membantu menteri masing-masing.  

Terdapat 9 menteri dan 19 menteri muda sebelum Dewan Undangan Negeri dibubarkan pada 11 April lalu.

Adenan menyifatkan bukan mudah untuk memilih wakil rakyat terbabit untuk menjadi menteri muda kerana semua 72 Adun BN, mereka adalah berkelayakan tinggi dan berbakat.

Pada pilihan raya negeri 7 Mei, pembangkang hanya memenangi 10 daripada 82 kerusi dipertandingkan. BN berjaya merampas kembali lima kerusi majoriti Cina daripada DAP.

“Memang sukar untuk saya memilih Ahli Dewan Undangan Negeri BN kerana semua mereka berbakat dan berkelayakan tinggi.

Menteri muda berkenaan telah mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud di Dewan Lapau, Dewan Undangan Negeri pagi semalam.

Beliau memberi jawapan kepada soalan pemberita ekoran kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini tentang kemungkinan negeri Sarawak meminda perlembagaannya bagi membolehkan diwujudkan lebih daripada tiga jawatan Timbalan Ketua Menteri.

Tiga Timbalan Ketua Menteri dalam kabinet baharu Adenan ialah Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Tan Sri  Dr James Jemut Masing dan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg. – Sarawakvoice.com