Sunday, December 5, 2021

10 juta tandatangan pun tak boleh gulingkan Najib

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Walau 10 juta tandatangan daripada 30  juta rakyat Malaysia berjaya dikumpul, Perdana Menteri tidak akan tumbang daripada kerusinya.

Hal ini demikian, kerana menurut Solidariti  Anak Muda Malaysia (SAMM)  dalam satu kenyataan, hari ini, Yang di-Pertuan Agong tetap tidak mempunyai kuasa untuk memecat Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri.

Peringatan itu ditujukan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang setakat ini berjaya mengumpul 1.4 juta tandatangan rakyat Malaysia melalui Deklarasi Rakyat.

Setakat semalam Dr Mahathir masih gagal mendapat perkenan mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk menyerahkan dokumen berkenaan.

“Setakat ini saya masih tak dapat bertemu dengan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kerana kemungkinan baginda juga dalam keadaan tahanan rumah,” kata Dr Mahathir ketika menjawab soalan pada sesi soal jawab di Subang Jaya, semalam.

SAMM  mempertikaikan hala tuju Deklarasi Rakyat  dan menyifatkan Dr Mahathir membawa harapan palsu kepada rakyat serta mencabul Perlembagaan demi dendamnya sendiri.

Dr Mahathir menerajui Deklarasi Rakyat dengan bersekongkol dengan pembangkang, menuntut Najib turun daripada kerusinya.

“Tidakkah Tun Mahathir sedar, walau 10 juta tandatangan dikumpul sekali pun, Agong tetap tidak mempunyai kuasa untuk melucutkan Najib kerana ia tiada dalam Perlembagaan,” kata Pengarah Propaganda SAMM, Edy Noor Reduan.

Beliau berkata, Agong hanya mempunyai kuasa budi bicara untuk melantik perdana menteri yang pada pendapat baginda sudah mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Tetapi, kata beliau,  hanya kerana terdesak untuk sekali lagi menaikkan boneka pilihan, Dr Mahathir sanggup menggunakan deklarasi mendesak Agong melakukan sesuatu yang di luar bidang kuasa, seterusnya melanggar Perlembagaan.

“Adakah Perlembagaan negara ditentukan Tun, ‘rule of law’ mengikut keperluan Tun?” katanya.

Tambahnya, hanya demi melampiaskan dendam Dr Mahathir, maka pencabulan perlembagaan dibenarkan. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru