Friday, August 12, 2022

Pesawat TUDM terhempas, pelatih patah kaki, pesawah cemas pesawat atas kepala

Secara Rawak

PEKAN: Seorang pesawah bersyukur, apabila sebuah pesawat latihan Aermacchi MB339CM milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terhempas di Kampung Pandan Dalam, berhampiran Kampung Serun, Nenasi, tengah hari semalam tidak menghempapnya.

Sebaliknya, pesawat itu hanya jatuh kita-kira 30 meter dari tempat Ab Jalil Abd Karim, 47 tahun berdiri.

“Syukurlah pesawat itu tidak jatuh atas saya, kalau tidak mungkin saya telah tiada,” katanya seperti dipetik Bernama.

Ab Jalil sedang berada di sawah miliknya sebelum terdengar bunyi letupan yang sangat kuat di udara.

“Saya terus memandang ke atas dan melihat dua juruterbang melayang keluar daripada pesawat dengan payung terjun pada ketinggian kira-kira 300 kaki.

“Saya benar-benar terpaku. Saya tidak dapat bergerak apabila melihat pesawat tanpa pemandu itu meluncur rendah tidak jauh daripada tempat saya berdiri.

“Saya serba salah. Kalau saya gerak, takut jatuh ke atas saya pula,” katanya.

Kata Ab Jalil yang jelas trauma, semasa pesawat itu berlegar-legar di udara sebelum terhempas, tiada tanda sebarang kepulan asap ataupun percikan api kelihatan.

Ab Jalil berkata, pesawat itu berada di bumi, beliau segera mendekatinya untuk memeriksa jika terdapat lagi orang di dalamnya.

“Selepas itu saya menjerit memanggil penduduk yang ada berdekatan di sawah ini untuk datang melihat kejadian ini dan menolong apa yang patut,” katanya.

Sementara itu, isteri Ab Jalil, Solehah Abdullah, 37, berkata bekalan minuman yang sepatutnya dihidang untuk suaminya diberikan kepada juruterbang malang itu setelah melihat mereka dalam keadaan lemah dan terkejut.

“Semasa kejadian saya dalam perjalanan menghantar makanan dan minuman kepada suaminya yang sedang bekerja di sawah itu.

“Saya bersama-sama enam lagi orang kampung kemudian bergegas membantu mengangkat dua juruterbang itu ke tempat selamat dan memberikan mereka minuman,” katanya.

Pesawat yang membawa dua jurulatih penerbangan, Mejar Nazrul Hafiz Zaimi dan pelatih penerbangan, Leftenan Mohd Hakimi Khairi dilaporkan terhempas setelah mengalami kerosakan teknikal di Kampung Pandan Dalam berhampiran Kampung Serun, kira-kira 100 kilometer dari Kuantan pada jam 12.54 tengah hari.

Kedua-dua mereka bagaimanapun selamat apabila berjaya keluar menggunakan kerusi anjal, dengan Mohd Hakimi mengalami patah kaki kiri dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA). – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru