Thursday, June 30, 2022

Masa untuk memenuhi mandat

Secara Rawak

Dr Lee Kuok Tiung, UMS
Dr Lee Kuok Tiung, UMS

Segala teka-teki sejauh mana Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem mampu membawa kejayaan Barisan Nasional (BN) Sarawak atau speksifiknya Team Adenan dalam PRN-11 Sarawak terjawab apabila berjaya memenangi 72 daripada 82 kerusi. Suatu pencapaian yang boleh dikira luar biasa dalam konteks politik masa kini.

Meskipun Adenan way itu memainkan peranan besar – sebenarnya yang lebih mustahak ialah keputusan PRN Sarawak itu mencerminkan aspirasi rakyat.

Ramai pemimpin memberikan kredit kepada beliau termasuk Khairi Jamaludin yang menyifatkannya Adenan sebagai memiliki aura yang mewakili berbilang kaum.

Begitu pun, tidak kurang juga pengguna  anonymous di media sosial melemparkan pelbagai kritikan terhadap beliau, malahan lagi pedas tomahan-tomahan terhadap pengundi di Sarawak menuduh mereka betapa naifnya dan pentingkan diri sendiri.

Agaknya, pengkritik dan cyber warriors tersebut yang harus cermin-cerminkan diri mereka terlebih dahulu.   

Bukankah pilihan raya itu sebahagian daripada proses demokrasi rakyat memilih kerajaan memerintah? Tiada dalam kamus politik pun mengundi untuk ‘check & balance’ kerajaan. Apa salahnya tunjukkan sedikit kematangan dengan menghormati hak mengundi setiap rakyat Malaysia.  

Tidak perlu sindir kebijaksanaan pengundi di Sarawak memilih siapakah yang lebih sesuai mewakili suara mereka dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).  

Seminggu sudah berlalu di mana barisan utama Kabinet Negeri Sarawak pun telah diumumkan oleh Adenan pada 13 Mei dan upacara mengangkat sumpah mengambil alih tanggungjawab juga telah disempurnakan pada hari berkenaan.

Sekitar 20 jawatan menteri muda yang belum akan diisi pada minggu ini.

Teras telah dibubarkan dan calon langsung BN daripada Teras yang menang pun telah mengemukakan permohonan menyertai PBB. UPP pula dilaporkan akan bergabung dengan SPDP untuk membentuk parti baharu.

Pastinya ramai juga komuniti Cina yang berterima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyuarakan cadangan agar melantik seorang Cina sebagai Timbalan Ketua Menteri Sarawak.     

Begitu juga dengan semua pemimpin dan parti komponen BN yang turut bersama-sama dalam kempen dari awal sampai akhir di Sarawak. Perasaan sedih dan simpati juga menyelubungi semua pihak dengan nahas helikopter yang berlaku.

Biarpun ada pemimpin pembangkang yang tampil mendakwa BN tidak harus mengambil kredit atas kejayaan kemenangan besar BN Sarawak kerana itu semuanya adalah disebabkan faktor Adenan Satem semata-mata serta perjuangannya untuk Sarawak, hakikatnya sumbangan mereka cukup signifikan kepada pasukan Adenan di Sarawak.

Sumbangan daripada rakan-rakan parti pembangkang daripada Semenanjung dan Sabah apa kurang pentingnya terutamanya DAP yang membantu calon-calon mereka berkempen sehingga malam sebelum pengundian.

Betul, belum tentu keputusan PRN Sarawak boleh dijadikan sebagai penanda aras populariti BN, tetapi tiada siapa-siapa juga yang boleh menafikan keputusan tersebut sedikit banyak akan mempengaruhi keputusan PRU-14 nanti.

Menutup tirai kali ini, kita perlu bergerak ke hadapan, dan  beralih dari soal memperoleh mandat kepada berkhidmat untuk rakyat. – Sarawakvoice.com         

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru