Kenyatan Masing pertikaikan pelantikan Wong tidak kena, bagai persoal hak Ketua Menteri

0
5

KUCHING: Meskipun Timbalan Ketua Menteri Tan Sri  Dr James Jemut Masing mempertikaikan pelantikan Datuk Seri Wong Soon Koh ke dalam kabinet negeri Sarawak, namun beliau sama sekali tidak terkesan dengan kenyataan berkenaan.

Bagi mantan presiden Parti Rakyat Bersatu (UPP) yang menang besar di Bawang Assan 7 Mei lalu, tugas dan amanah yang diserahkan oleh Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem kepadanya perlu dilaksanakan dengan berkesan demi kebaikan negeri dan Barisan Nasional.

Wong menang dengan majoriti 4,131 undi apabila menewaskan Chiew Sung Ngie (DAP) yang meraih 4,884 undi, calon Star Wong Sing Wei yang mendapat 100 undi, dan dua calon Bebas, Yeu Bang Keng yang meraih 569 undim, dan Watson Bangau yang hanya mendapat 63 undi.

Untuk itu, Wong yang meneruskan jawatan lamanya sebagai Menteri Kewangan Kedua sebelum Dewan Undangan Negeri dibubarkan pada 11 April lalu, berkata beliau tidak terganggu dan tenang sahaja dengan komen Masing.

Beliau menyifatkan pelantikan berkenaan sebagai prerogatif Ketua Menteri.

Memang terdapat komen dalam kalangan pengundi atas kapasiti apa Wong dilantik ke jawatan itu kerana beliau ketika ini adalah tidak berparti.

Sebelum hari penamaan calon pada 25 April, mereka daripada UPP dan Teras diwajibkan keluar parti sebagai syarat sebelum lambang dacing dapat digunakan.

UPP merupakan parti serpihan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), manakala Teras ialah serpihan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP).

Dua hari lepas Masing mempertikaikan pelantikan Wong dengan berkata: “Saya hendak tahu parti mana Datuk Seri Wong Soon Koh yang dilantik sebagai Menteri Kewangan Kedua wakili.”

Masing menghujahkan bahawa pentadbiran negeri perlu dianggotai ahli parti komponen Barisan Nasional, sekali gus bermakna beliau bagai mempertikaikan prerogatif Ketua Menteri.

Pemerhati politik menyifatkan kenyataan tebuka Masing itu tidak kena.

Beberapa hari lepas difahamkan UPP dan SPDP telah memulakan usaha untuk bergabung, tetapi setakat ini sejauh mana kedua-duanya telah mencapai kemajuan belum dapat diketahui.

Namun, Wong ketika ditanya pemberita semalam selepas menghadiri sesi bersama majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di sini, berkata, parti terbabit masih dalam perbincangan. – Sarawakvoice.com