Friday, August 12, 2022

Formula PRK 5 Jun: Pas Kuala Kangsar, Amanah Sungai Besar?

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Sekitar dua minggu lagi, 5 Jun depan — penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) serentak Kuala Kangsar dan Sungai Besar berlangsung.

Nampaknya belum ada tanda-tanda kesefahaman di antara Pakatan Harapan (PH) dengan bekas sekutunya PAS untuk bertolak ansur bagi menentukan calon satu lawan satu menentang BN.

Semestinya dalam PRK yang diadakan ekoran kematian Datuk Noriah Kasnon dan MP Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, dalam nahas helikopter 5 Mei di Sebuyau, Sarawak ­­­­– masing-masing bercakap mahu mengelak pertembungan tiga penjuru.

Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin berkata “Sekiranya berlaku pertandingan satu lawan satu lawan satu antara PAS dengan BN, maka besar kemungkinan PAS akan menang berasaskan pada sentimen kemarahan rakyat kepada Umno dan pimpinan Umno sekarang.

PAS terdahulu mengumumkan sedia meletakkan calon di dua kerusi berkenaan berdasarkan pembahagian kerusi PRU 13 lalu.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi amaran kepada parti lain yang ingin meletakkan calon mereka supaya “mengukur baju di badan sendiri”.

Ketika Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali berkata, PH masih belum memutuskan parti bertanding di PRK berkenaan, NGO Otai Reformasi 1998 mendesak PH memberi peluang kepada Amanah.

Jurucakap NGO Shaiful Ariffin berkata, “Amanah mewakili suara demokrat Muslim akan terus mara ke hadapan. Kami amat percaya tanggungjawab ini perlu diberikan kepada Amanah  dengan ketokohan pemimpin yang berwibawa dan punya prinsip untuk mengukuhkan PH, jadi jangan sia-siakan Amanah.”

Menurut Presiden Amanah, Mohamad Sabu, beliau mahu memastikan tidak ada pertembungan antara parti pembangkang demi mastikan BN tewas dalam dua pilihan raya kecil akan datang.

Mohamad Sabu memberi respons kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menggesa pembangkang bertanding sebagai satu pasukan mengalahkan BN dalam PRK 18 Jun nanti.

Jentera Amanah bagaimanapun dilihat bergerak cergas di Sungai Besar. Dari menziarahi keluarga Allahyarhamah Dato Noriah di Sungai Burong, Tanjung Karang, sehinggalah kepada melaksanakan Program Ramah Mesra Bersama Pemimpin di Dewan Sri Bernam.

Naib Presiden Amanah, Datuk Mujahid Yusof Rawa berkata AMANAH secara konvensyen perlu meletakkan calon di semua kerusi tradisi PAS.

Bagaimanapun, dalam perkembangan terbaru, PH membuat pendekatan menang-menang dengan menawarkan PAS bertanding di Kuala Kangsar, manakala Amanah bertanding di Sungai Besar.

Ketua DAP Perak, Nga Kor Ming berkata PAS perlu rasional sehingga pertandingan satu lawan satu boleh dicapai dalam kedua-dua PRK ini.

Nga mahu PAS menerima tawaran berkenaan.

Bersediakah PAS berkompromi dengan bekas sekutunya, dahulu PR kini PH itu? Sehari sebelum penamaan calon pada 5 Jun nanti, PAS mengadakan muktamarnya. Di situlah tekad dan nekadnya PAS membuat keputusan rasmi menyertai PRK kecil tersebut.

Sesama pembangkang, kini mereka ketandusan peranan pemimpin berkarisma yang dapat merapatkan jurang dan menyatukan mereka untuk duduk semeja. Adakah Dr. Mahathir cuba melihat ke arah itu untuk tempoh yang singkat ini?

Siapa dapat memujuk PAS untuk mendengar cakap mereka ketika PAS menganggap kemenangan politik bukan segala-galanya.

Lim Kit Siang, tokoh DAP mengingatkan PAS bahawa kekalahan tipis PAS, 1,082 undi di Kuala Kangsar dan 399 undi di Sungai Besar pada PRU13 berpunca daripada faktor PAS ketika itu bersama Pakatan Rakyat.

Kini PAS sendirian dan tiada sesiapa membantunya memujuk pengundi Cina memangkah mereka.

Sementelahan, faktor peratusan keluar mengundi yang rendah di Parlimen tersebut pada PRU13 juga menjadi kayu ukur.

Ketika Pas bersendirian dalam pilihan raya sebelumnya, PAS pernah tewas sehingga 7,000 undi berbanding BN.

Politik adalah serba mungkin. Sebagai parti politik, sesiapa pun boleh bertanding dalam sesebuah pilihan raya. Apabila gendang perang politik sudah dipalu, biarkan sahaja pengundi menentukan siapa yang menang! – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru