KUCHING: Pada tempoh kempen lalu, calon Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) kerusi Batu Kawah Datuk Dr Sim Kui Hian tampil dengan beberapa video memikat.

Terbaharu beliau tampil sekali lagi dengan video yang merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada pengundi dan penduduk di kawasan yang diwakilinya.

Video berdurasi dua minit dimuat naik melalui Facebooknya dan cepat menarik perhatian netizen.

Pada pilihan raya 7 Mei lalu, presiden SUPP itu mengalahkan calon DAP Christina Chiew dan calon Bebas Liu Thian Leong.

Beliau memperoleh  6,414  undi untuk menang dengan majoriti  2,085 undi.  Chiew mendapat  4,329  undi, sementara   Liu, 1109  undi.

Pada pilihan raya 2011, Dr Sim,  seorang pakar jantung dan presiden Malaysian National Heart Association, bertanding  di kerusi Pending, tetapi tewas kepada calon DAP  Violet Yong Wui Wui.

Kemenangan di Batu Kawah, kerusi yang dikategorikan hitam dan panas,  memungkinkan anak bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Sim Kheng Hong itu  dilantik sebagai Menteri Kerajaan Tempatan dalam kabinet baharu Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem Jumaat lalu.

Dr Sim sering muncul dengan slogan, papan iklan, poster yang menarik ketika bertanding di kerusi  Pending pada 2011 tetapi beliau tewas bersama-sama 12 lagi calon SUPP di tangan DAP.

Kekalahan SUPP di kerusi majoriti Cina lima tahun lalu adalah disebabkan sentimen anti-Barisan Nasional yang kuat.

Dr Sim merupakan antara calon dan pemimpin politik yang sedar akan peranan media baharu dalam mendekati pengundi dan rakyat.

Video terbitan pasukan komunikasi dan strategi beliau bukan sahaja kreatif, tetapi sarat dengan mesej.

Melalui video  itu beliau mengajak rakyat agar sentiasa bersatu untuk membangun negeri ini.

“Walaupun pilihan raya sudah berakhir, namun kempen tidak berakhir,” katanya dalam video itu. – Sarawakvoice.com