BN Pusat mahu ikut formula dan strategi kejayaan Sarawak

0
2

KUCHING: Barisan Nasional (BN) Pusat meminta jasa baik Sarawak berkongsi formula dan strategi ampuh yang membolehkannya menggapai kejayaan mengagumkan dalam pilihan raya negeri ke-11 pada 7 Mei lalu.

Perkara ini disampaikan Perdana Menteri kepada BN Sarawak sebagaimana dinyatakan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johar Tun Openg dalam ucapannya pada Majlis Makan Malam Petugas Media Pilihan Raya Negeri Ke-11 di sini, semalam.

Pendekatan kempen yang disifatkan terperinci, taktikal dan mengambil kira data daripada pelbagai sumber, serta maklum balas daripada pengundi merupakan rahsia sebalik kejayaan yang disifatkan sebagai luar biasa apabila BN memenangi 72 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri meskipun, pada awalnya BN hanya yakin memenangi 68 hingga 70 kerusi.

 

Kata Abang Johari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Satok: “Kita telah beri taklimat kepada mereka, dan sebenarnya mereka kagum dengan pencapaian kita. Mereka mahu kita bantu gunakan kaedah kita. Perdana Menteri berkata, persiapan kita lebih baik dan mahu kita bantu mereka di Kuala Lumpur.

Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga turut berkampung di Sarawak  pada tempoh 12 hari kempen.

Abang Johari berkata sejak mengambil alih kepemimpinan negeri, Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat dengan melaksanakan 53 langkah dan prinsip yang mesra rakyat sehingga melonjakkan populariti beliau.

Penarafan populariti Adenan mencecah 85 peratus menurut kajian Majlis Profesor Negara.

Sambil mengakui Pengerusi BN Sarawak itu menghadapi kesukaran ketika menyenarai pendek calon yang terbaik untuk ditampilkan menjelang hari penamaan calon pada 25 April, disebabkan perlu mengambil kira kepentingan semua pihak termasuk parti yang mesra BN, tetapi ternyata kemudiannya didapati formula berkenaan berkesan.

Perincian dan kajian terperinci dilakukan bagi kawasan hitam termasuk lima majoriti Cina yang dapat dirampas kembali daripada DAP – Batu Kawah, Repok, Meradong, Dudong dan Piasau.

“Kita di Sarawak berjaya menawan lima kerusi daripada DAP,  jadi selepas ini terpulang kepada parti komponen di Semenanjung sama ada boleh atau tidak mendapatkan semula kerusi berkenaan daripada DAP, “ katanya.

Abang Johari mengakui bahawa maklum balas, penggunan data dan maklumat yang betul daripada pelbagai pihak, termasuk agensi kerajaan, bukan kerajaan dan pihak berkecuali, banyak membantu.

Yang penting, katanya, jangan ikut emosi kerana kalau tidak, boleh terperangkap dalam kesilapan apabila membuat keputusan.

“Kalau kita gunakan pendekatan saintifik dengan menggunakan dan menganalisis data dengan tepat daripada semua sumber, ada kemungkinan kurang atau lebih 90 peratus data terbabit adalah tepat,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau berkata Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) tidak memandang ringan data dan maklumat berkenaan, dan segera melakukan pembetulan dan penjelasan jika terdapat kesilapan atau kelemahan.

PBB memenangi kesemua 40 kerusi yang ditandinginya. – Sarawakvoice.com