Sunday, August 14, 2022

Jawatankuasa dibarisi peguam kaji pertindihan undang-undang antara Sarawak dengan kerajaan persekutuan

Secara Rawak

KUCHING:  Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, selepas mendapat penurunan kuasa dalam 13 perkara pada fasa pertama perundingan dengan kerajaan persekutuan, kerajaan negeri Sarawak akan memasuki fasa kedua berkaitan penurunan kuasa.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan negeri akan membentuk jawatankuasa khas terdiri daripada para peguam bagi meneliti kuasa dan undang-undang bertindih antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri bagi memastikan kelancaran pentadbiran, dan mengelak pertindihan.

“Kalau kita dapat selesaikan masalah pertindihan undang-undang berkenaan, ini akan memberi kelebihan kepada kita untuk mentadbir negeri ini mengikut cara kita,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Makan Penghargaan Jentera Barisan Nasional-Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Dewan Undangan Negeri Satok di sini, malam kelmarin.

Abang Johari menang dengan majoriti yang mengukuh, 5,445 undi selepas menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR). Pada 2011,  undi majoriti diperoleh beliau ialah 2,800 ketika Barisan Nasional diasak oleh pembangkang di sebalik sentimen antikerajaan yang menggelegak, berpunca daripada kebencian pengundi terhadap kepemimpinan negeri, terutama di kawasan bandar.

Pada pilihan raya berkenaan,  BN tewas di 16 kerusi, dengan undi popular yang merudum, dengan hanya mencecah 49 peratus.

Pada pilihan raya 7  Mei, undi popular kebanyakan kawasan telah meningkat, menandakan ayunan undi ke arah BN yang agak ketara. BN berjaya merampas balik lima kerusi majoriti Cina di bandar daripada DAP.

Berkaitan pembangunan di Satok, beliau berkata kunci dan tumpuan utama pembangunan di kawasan berkenaan ialah pelaburan dalam bidang hartanah.

Satok telah muncul sebagai kawasan yang pesat membangun  sejak beberapa tahun ini.

Kata beliau yang juga Menteri Perumahan dan Perbandaran, kerajaan telah berjaya membawa perubahan dan pembangunan di kawasan yang diwakilinya, daripada sebuah perkampungan tradisional kepada sebuah pusat perniagaan dan hab komesial yang dinamik. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru