Alexander Linggi  atau William Mawan naik pangkat jadi menteri persekutuan?

1
3

KUCHING: Ketika ramai yang terkejut dengan keciciran nama Tan Sri William Mawan Ikom daripada senarai anggota kabinet baharu Ketua Menteri Tan Sri Adenan,  mereka juga berteka-teki bagaimana nasib beliau selepas ini.

Mawan yang menang dengan majoriti tipis di kerusi Pakan, kerana ditentang hebat oleh calon Bebas, bagi sesetengah-setengah orang mungkin sedang menghitung hari berada di kerusi menteri.

Dengan tercicirnya nama beliau daripada kabinet Adenan, maka kini Mawan hanya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Pakan dan Ahli Parlimen Saratok, menjadi Adun dan Ahli Parlimen sekali gus.

Selain  beliau, Douglas juga punya keistimewaan sedemikian. Beliau menjadi Adun Bukit Saban dan Ahli Parlimen Betong.

Kini, ada yang membuat spekulasi bahawa Mawan bakal dilantik sebagai menteri penuh dalam kabinet persekutuan pimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata bahawa kabinet akan dirombak tidak lama lagi, dan ini dilihat susulan kembalinya Datuk Amar Douglas Uggah Embas ke Sarawak.

Douglas bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sarawak I menggantikan mentornya Tan Sri Alfred Jabu Numpang yang menduduki kerusi berkenaan lebih empat dekad.

Kematian Datuk Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak juga meninggalkan kekosongan jawatan Timbalan Menteri terbabit.

Sebelum ini Mawan dipetik sebagai berkata bersedia untuk berkhidmat di peringkat persekutuan jika diperlukan.

Beberapa bulan lalu tersebar spekulasi bahawa dengan kembalinya Douglas ke Sarawak kemungkinan tempat beliau akan diisi oleh Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi.

Persoalannya, dengan Mawan memohon menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sebagai ahli, layakkah beliau terus diangkat menjadi menteri penuh sedangkan dari segi kekanan Alexander Linggi lebih kanan dalam hierarki parti.

Tetapi, adakah wajar Mawan dilantik sebagai timbalan menteri pusat?

Atau sama sekali tidak wajar dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri?

Namun, terdapat satu jawatan menteri, susulan kekosongan ditinggalkan Douglas untuk Ahli Parlimen dari PBB.

Kalau Alexander dinaikkan pangkat, sudah tentu ada satu kekosongan untuk diisi oleh Ahli Parlimen PBB juga.

Kekosongan jawatan timbalan menteri ditinggalkan Datuk Noriah Kasnon akan diisi oleh Ahli Parlimen UMNO. – Sarawakvoice.com

1 COMMENT

  1. Bagus sekali kalau Datuk Alexander Nanta Linggi dilantik ke menteri penuh berbanding dengan calon lain dalam PBB. (Sayap Dayak) Dan tidak ada calon yang betul layak selain beliau setakat ini. Saya sokong seratus peratus beliau diberi tanggungjawab itu.

Comments are closed.