Tuesday, November 29, 2022

Sokongan Cina Sarawak tidak mengejutkan, kata Profesor

Secara Rawak

KUALA LUMPUR; Profesor Dr Ridhuan Tee Abdullah berkata, semangat kenegerian yang berlebihan tidak baik untuk pembangunan negara bangsa dan  tidak sesuai dengan Islam.

“Sebagai negarawan kita perlu utamakan Perlembagaan yang menjadi paksi pemerintahan, bukannya sifat kenegerian,” katanya dalam kolum dalam Sinar Harian, hari ini.

Bagi  Felo Utama, INSPIRE dan Penyarah, UniSZA, pemimpin perlu mendahulukan proses pembinaan negara bangsa, perpaduan dan identiti negara berbanding kepentingan politik.

Jika tidak, katanya,  tidak mustahil ia akan membuka ruang untuk tuntutan supaya bahasa lain menjadi bahasa rasmi sedangkan ia jelas bertentangan dengan Perkara 152 Perlembagaan Malaysia.

“Pemimpin politik di negara ini seolah-olah tidak serius dalam membina negara sehingga tidak dapat menerima perkara yang menjadi asas bersama. Sudah hampir 60 tahun merdeka, tetapi kita terkapai-kapai mencari jati diri dalam membina negara bangsa kerana terlalu banyak berpolitik.”

Mengulas tentang pilihan raya Sarawak 7 Mei, sambil tidak menafikan  faktor Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem membantu Barisan Nasional (BN) menang besar, Dr Ridhuan, salah seorang daripada individu yang disekat daripada memasuki Sarawak,  ingin tahu sejauh manakah faktor Adenan mampu bertahan.

Dalam pilihan raya negeri ke-11, BN memenangi 72 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri 9DUN) Sarawak.  

Baginya,  sokongan Cina Sarawak kepada pasukan Adenan bukanlah satu perkara yang mengejutkan, “apatah  lagi jika bulan dan bintang ditawarkan.”

Katanya, jadi tidak payahlah MCA dan Gerakan mencanangkan, jika mahukan sokongan Cina Semenanjung maka ikutilah cara Adenan.

Katanya: “Budaya politik Semenanjung, memerlukan kita memahami hati budi Melayu, kerana Melayu adalah majoriti. Sedangkan di Sarawak tiada kaum yang majoriti, maka semua diraikan.”

Mengulas lanjut, Dr Ridhuan berkata, Sarawak sangat terdedah kepada diversiti dan perlu dihormati.

Namun, katanya, sebahagian ultra kiasu Semenanjung tidak demikian sifatnya, sebaliknya mereka terlalu perkauman.

“Sebab itu, mereka begitu marah kepada Cina Sarawak kerana menolak ultra kiasu. Sehingga mencetuskan pergaduhan di alam siber,” katanya. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru