Friday, August 12, 2022

Jumlah menteri muda dijangka bertambah, kata penganalisis politik

Secara Rawak

KUCHING: Menurut penganalisis politik Universiti Malaysia Sarawak Profesor Madya Dr Jeniri Amir, jumlah menteri muda kemungkinan ditambah berdasarkan pertambahan jumlah menteri dan kementerian yang dibentuk pada Jumaat.

Pertambahan itu juga seiring dengan pertambahan jumlah kerusi daripada 71 kepada 82 kerusi.

“Tugas yang perlu dipikul oleh kabinet Adenan lebih mencabar dalam tempoh lima tahun, kerana beliau bukan sahaja perlu mempertahankan popularitinya, tetapi juga memastikan janji menjelang pilihan raya termasuk yang terkandung dalam manifesto dipenuhi. Sebenarnya, populariti beliau banyak  ditentukan sejauh mana janji berkenaan dikotakan nanti,” katanya.

Penarafan populariti Adenan mencecah 85 peratus mengikut dapat kajian Majlis Profesor Negara menjelang pilihan raya lalu.

Kalau jumlah jawatan menteri muda dalam kabinet lama diambil kira sekurang-kurangnya terdapat tujuh kekosongan yang perlu diisi oleh Ketua Menteri bagi membantu menteri menjalankan tugas mereka.

Sebelum Dewan Undangan Negeri dibubarkan pada 11 April, terdapat 19 menteri muda.

Kekosongan itu adalah ekoran menteri muda terbabit tidak lagi bertanding dalam pilihan raya 7 Mei atau dinaikkan pangkat menjadi menteri penuh.

Mereka ialah Datuk Grambong Juna, Menteri Muda Pembangunan Tanah dan Menteri Muda Pelancongan; Datuk Sylvester Entri Muran, menteri Muda kemudahan Awam dan menteri Muda Pertanian, Datuk Daud Abdul Rahman Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan dan Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri.

Yang lain ialah Datuk Peter Nansian Ngusie Menteri Muda Pembangunan Perindustrian dan Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat, dan Robert Lawson Chuat, Menteri Muda Kebajikan.

Menteri Muda Kemudahan Awam Datuk Dr Stephen Rundi Utom dinaikkan pangkat menjadi Menteri Kemudahan Awam.

Pada Jumaat Adenan mengumumkan anggota kabinet baharu beliau dengan beberapa perubahan pada beberapa kementerian dari segi nama, membayangkan sedikit perubahan dari segi fokus beliau.

Termasuk beliau, 10 orang menteri penuh menganggotai 11 kementerian bagi memenuhi matlamat dan agenda yang digariskan sesuai dengan aspirasi dan sokongan pengundi yang memberi mandat kukuh kepada Barisan nasional apabila ia menang 72 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri dipertandingkan.

Jumlah menteri penuh  bertambah dua berbanding sebelumnya. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru