SIBU: Satu daripada nama yang mencanak naik dan dispekulasi sebagai berpotensi dilantik menjadi menteri muda dalam kabinet baharu Ketua Menteri ialah Dr Annuar Rapaee.

Ahli Dewan Undangan Negeri Nangka yang memperlihatkan prestasi cemerlang dengan mengukuhkan undi majoritinya daripada 65 peratus pada 2011 kepada 77 peratus 7 Mei lalu, turut mendapat sokongan pengundi Cina, dengan empat daripada enam kawasan Cina berdiri di belakang beliau.

Dr Annuar pernah diura-urakan dilantik sebagai menteri muda di bawah kepemimpinan Ketua Menteri Tun Abdul Taib Mahmud selepas pilihan raya 16 April 2011, tetapi berita itu tidak menjadi kenyataan lebih disebabkan beliau adalah muka baharu ketika itu.

Untuk wakil rakyat penggal kedua ini, dipercayai bahawa Tan Sri Adenan Satem akan memasukkan nama beliau dalam senarai untuk kali ini.

Pemerhati politik akar umbi berkata, Dr Annuar ialah contoh wakil rakyat yang gigih, komited dan tidak pernah menyerah kalah. Beliau sentiasa turun padang membantu menyelesaikan masalah rakyat, dan dalam usaha memahami aspirasi mereka. Beliau mendekati pengundi Cina melalui pelbagai kegiatan, dan akhirnya menuai hasilnya.

Dengan latar belakang akademik dan pengalaman beliau, pemerhati berkata, Dr Annuar memang layak dilantik jawatan tersebut bagi menyuntik idea dan perspektif baharu untuk membawa Sarawak ke hadapan.

Ketika ditanya pemberita di sini malam Sabtu tentang spekulasi berkenaan, Dr Annuar berkata: “Saya tak tahu. Ya, sebenarnya saya tak tahu. Kita serahkan kepada Ketua Menteri.”

Dr Annuar yang mempertahankan kerusi majoriti Melayu/Melanau itu terjaring dalam kontroversi apabila ucapannya disalah petik sebuah portal berita menjelang pilihan raya negeri  ke-11.

Dalam ucapan majlis makan malam penghargaan kepada pekerja dan pembantu pilihan raya bagi kerusi Nangka di sini Sabtu, Dr Annuar berkata, 88 hingga 90 peratus pengundi di kawasan Bumiputera menyokong Barisan Nasional.

Beliau berkata, peningkatan majoriti membungkamkan pengkritik kerana  mengikut beliau ada spekulasi berkata, beliau bukan calon yang sesuai.

“Saya berpuas hati majoriti undi meningkat kerana peningkatan berkenaan melenyapkan segala khabar angin,” katanya.

“Kemenangan dengan majoriti 7,617 di Nangka sangat besar maknanya kepada kita. Apa yang kita lakukan dalam lima tahun lalu telah memberi manfaat kepada warga Sibu.” katanya sambil meminta pengundi di kawasan terbabit mengetepikan perkara yang remeh-temeh, sebaliknya memberi tumpuan ke arah memajukan kawasan. – Sarawakvoice.com