Tuesday, December 6, 2022

Culik: Proses rundingan masih berjalan

Secara Rawak

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Polis Negara semalam memberitahu, empat rakyat Malaysia warga Sarawak masih hidup dan polis masih mengadakan rundingan dengan penculik berhubung kaedah terbaik untuk membebaskan mereka.

Datuk Seri Noor Mohd Rashid berkata, setakat ini rundingan di antara Kerajaan Malaysia dan polis, telah mendapat kerjasama yang baik termasuk daripada pihak berkuasa Filipina.

“Kita berharap proses ini akan dapat membantu membebaskan mereka,” katanya ketika ditemui pada acara menembak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah sempena Peringatan Hari Polis ke-209.

Empat rakyat Malaysia yang berasal dari Sibu itu diculik oleh sekumpulan lelaki bersenjata di perairan Ligitan, berhampiran Semporna pada 1 April lalu ketika dalam perjalanan dari Filipina ke Sabah.

Dalam kejadian kira-kira 6.15 petang pada 1 April, empat lelaki malang tersebut Wong Teck Kang, 31; Wong Hung Siong, 34; Wong Teck Chii, 29, dan Johnny Lau Jung Hien, 21, ditawan lapan lelaki bersenjata yang memintas kapal tunda mereka.

Beberapa krew lain masing-masing warga Indonesia dan Myanmar bagaimanapun dibebaskan.

Rashid berkata, tiada tindakan lanjut ataupun taktikal akan dilakukan sehingga proses rundingan selesai.

“Sekarang ini biarlah pihak berwajib, kerajaan dan pihak Filipina yang berkenaan menjalankan rundingan dahulu,” katanya. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru