Anyam tikar terpanjang dunia: Orang Ulu Baram-Belaga-Murum bakal rai rekod dunia

0
22

BELAGA: Lebih 400 masyarakat Orang Ulu di kawasan Belaga, Baram dan Murum dijangka memecahkan rekod dunia hari ini dengan menghasil anyaman tikar paling panjang di dunia.

Projek yang dikendalikan oleh persatuan Peng Doh Belaga itu, akan berusaha memecahkan rekod yang dipegang komuniti dari Sweden sebelum ini menghasilkan 749 meter.

Menurut Pengerusi Peng Doh Belaga, Datin Sri Debong Anyie, proses membuat tikar ini melibatkan 24 uma panjang Orang Ulu yang terdiri daripada sub etnik Kenyan, Kayan, Penan dan Lahanan.

“Ia diusahakan sejak Februari lalu, dengan semangat yang berkobar-kobar oleh para peserta hingga ke proses akhirnya hari ini,” katanya lagi.

Menjelas lanjut Deborah berkata, projek ini menjalinkan semangat kerjasama yang tinggi dalam kalangan peserta, sambil pada masa yang sama menganyam harapan bahawa tradisi kraftangan ini akan diwarisi oleh kelompok generasi muda.

73c8b6f0-92aa-440f-aa10-f46b4d8c3978

“Projek ini sendiri melibatkan generasi tua berusia sekitar 78 tahun hingga kepada mereka yang berusia 20 tahun,” katanya lagi.

Tikar merupakan pengalas duduk dan lapik kaki yang penting dalam masyarakat Orang Ulu, terutama ketika kerusi belum lagi diguna pakai secara meluas di pedalaman.

Ia diusahakan sepenuh masa oleh kalangan wanita komuniti itu, dan digunakan pada majlis perkahwinan untuk lapik pelamin selain digunakan untuk membalut mayat jika berlaku kematian.

Dalam tradisi masyarakat ini, ukiran atau kalong tidak dilakukan sebarangan kerana melambangkan kasta tertentu. Kasta-kasta ini termasuklah maren (bangsawan), hipui (pertengahan), panyin (bawahan) dan dipen (hamba).

Proses pengukuran dan pentauliahan Rekod Dunia Guiness untuk tikar terpanjang di dunia hari ini akan dilangsungkan di Dewan Masyarakat Skim Penempatan Semula Bakun di Sungai Asap, Belaga.

Ia dijangka dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Karim.

Projek khas ini turut mendapat tajaan Sarawak Energy Berhad, Yayasan Kebudayaan Dayak dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Sebuah dokumentari khas turut diterbitkan dengan tajuk Mat Weavers Tale (Kisah Penganyam Tikar) bagi merakamkan sejarah penting dalam komuniti Orang Ulu ini. – Sarawakvoice.com