KUCHING: Bagi menghadapi pilihan raya negeri Sarawak lima tahun dari sekarang, gerakan Sarawak untuk Orang Sarawak (S4S) kini mencongak strategi untuk membawa gerakan itu satu langkah ke hadapan.

Mengintai peluang pilihan raya ke-12 nanti, ketua S4S berkata bakal mendaftarkan gerakan itu sebagai parti politik yang dapat menjadi alternatif yang lebih baik kepada pengundi dan rakyat Sarawak demi mempertahankan hak mereka.

Ketua S4S, Peter John Jaban  berkata tujuannya adalah bagi memastikan demokrasi dan autonomi terus dipertahankan bagi kebaikan rakyat.

Bagi Peter, Pakatan Harapan yang terdiri daripada DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Amanah gagal mempertahankan hak rakyat Sarawak dalam pilihan raya ke-11 pada 7 Mei.

Kegagalan parti pembangkang berkompromi sehingga menyaksikan DAP dan PKR bertanding sesama sendiri di enam kerusi Dayak, kata pemimpin gerakan, itu menyebabkan rakyat tidak lagi percaya kepada mereka.

“DAP dan PKR gagal selesaikan perbezaan sehingga rakyat gagal dapat khidmat sepatutnya,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Meskipun demikian, parti politik berkenaan jika didaftarkan nanti, tidak akan bertanding pada 2021 kalau Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem mengotakan janjinya, termasuk dalam mempertahankan hak rakyat Sarawak, kata Jaban.

Adenan menggariskan 15 perkara dalam manifesto Barisan Nasional, selain berjanji membawa pembangunan kepada rakyat menjelang pilihan raya Sabtu lalu.

BN memenangi 72 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri yang menyaksikan 70.1 peratus daripada 1.13 juta pengundi turun mengundi.

S4S merupakan gerakan yang menuntut hak dan autonomi Sarawak sebagaimana yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Perjanjian 18 Perkara yang dipersetujui 53 tahun lalu. – Sarawakvoice.com