KUCHING: Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Sarawak, Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini menyifatkan pembentukan kabinet Sarawak yang diumumkan semalam sebagai ‘barisan pilihan terbaik’.

Barisan ini katanya, diyakini akan dapat meneruskan kesinambungan kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri yang kini diterajui Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem menerusi mandatnya sendiri.

“Pelantikan tiga Timbalan Ketua Menteri amat kena pada masanya dan diyakini mampu memantapkan lagi pentadbiran kerajaan negeri dalam melaksanakan akujanji sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri ke-11 (PRN11).

“Dengan pengalaman yang panjang serta luas, gabungan pemimpin ini juga mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Sarawak,” katanya.

Kata Fadillah, gandingan Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang amat berpengalaman di peringkat Pusat serta Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan Tan Sri Dr James Jemut Masing yang berpengalaman luas di peringkat negeri merupakan “kombinasi terbaik” dalam membantu Ketua Menteri dalam melaksanakan dasar-dasar baharunya, yang sentiasa mengutamakan keperluan rakyat.

“Jemaah Menteri yang dilantik pula merupakan kalangan pemimpin berkebolehan yang akan membantu memacu proses transformasi kawasan luar bandar selain membawa Sarawak ke arah pembangunan yang lebih pesat.

Fadillah turut berterima kasih kepada Tan Sri Adenan Satem kerana kabinet baharu ini membuktikan beliau sebagai seorang yang berpegang kepada janji.

“Ini dibuktikan dengan pelantikan Datuk Prof Dr. Sim Kui Hian sebagai Menteri Kerajaan Tempatan selain mengekalkan Datuk Dr Seri Wong Soon Koh sebagai Menteri Kewangan Kedua sementelahan masyarakat Cina kembali menyokong BN.

Bagi Fadillah yang juga Pengerusi Pemuda BN negeri, barisan kabinet baharu yang diumumkan semalam adalah pilihan terbaik untuk Sarawak untuk menuju ke arah negeri maju berpendapatan tinggi. – Sarawakvoice.com