Adenan tipu Cina, tuduh Chong Chieng Jen

0
4
CHONG CHIEN JEN

KUCHING: Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen menuduh Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem telah menipu masyarakat Cina di Sarawak dengan tidak menunaikan janjinya untuk melantik Timbalan Ketua Menteri daripada kaum berkenaan.

CHONG CHIEN JEN“Saya rasa masyarakat Cina, terutama sekali pengundi Batu Kawah telah ditipu. Tidak sampai seminggu, dan tentunya, pengkhianatan ke atas pengundi Batu Kawah oleh Adenan,” kata Chong sebagaimana dilaporkan Malaysiakini.

Barisan kabinet baharu  diumumkan  Adenan selepas upacara mengangkat sumpah di sini, semalam dengan tiga Timbalan Ketua Menteri.

Mereka ialah  Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri Dr James Jemut Masing dan Timbalan Presiden Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

Pelantikan tiga jawatan timbalan bukanlah luar biasa dalam sejarah politik Sarawak, kerana pernah diamalkan pada dekad 1970-an hingga 1980-an.

Antara wakil rakyat yang pernah menjawat jawatan itu ialah Datuk Dunstan Endawie (SNAP), Datuk James Wong Kim Min (SNAP), Datuk Daniel Tajem (PBDS) , Tan Sri Sim Kheng Hong (SUPP), Tan Sri George Chan (SUPP), Tan Sri Wong Soon Kai (SUPP), dan Tan Sri Afred Jabu ak Numpang (PBB).

Hakikatnya, Adenan tidak secara khusus berjanji bahawa secara automatik Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Cina daripada SUPP atau yang dikaitkan dengan Parti Rakyat Bersatu (UPP) yang bertanding atas tiket calon langsung Barisan Nasional ((BN) akan dilantik ke jawatan itu.

Kerusi  untuk wakil berkenaan hanya layak diwujudkan semula jika SUPP sebagai parti tulang belakang BN negeri memenangi kesemua kerusi yang ditandinginya.

Pada pilihan raya 7 Mei, parti tertua yang diwujudkan pada 1959 hanya memenangi tujuh daripada 13 kerusi.

Pada zaman kemuncaknya, SUPP bertanding di 19 kerusi sekali gus menjadi parti kedua terbesar selepas PBB.

Memperjelas tentang isu yang hangat diperkatakan dalam media sosial, khususnya dalam kalangan pemimpin pembangkang, selain turut dikupas dalam akhbar Cina tempatan, Adenan berkata tiada wakil Cina dilantik kerana SUPP hanya menang tujuh kerusi, dan bukannya 13 kerusi ditandinginya.

Ketua Menteri berkata, beliau tidak pernah berjanji akan melantik seorang Timbalan Ketua Menteri, sebaliknya akan melantik menteri daripada kaum berkenaan.

Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Dr. Sim Kui Hian telah dilantik sebagai Menteri Kerajaan Tempatan, manakala mantan presdien Parti Rakyat Bersatu, (UPP, Datuk Seri Wong Soon Koh dilantik sebagai Menteri Kewangan Kedua, mengekalkan portfolio lamanya sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 11 April.

UPP  difahamkan dalam proses pembubaran dan perbincangan untuk bergabung dengan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP).

Teras, parti serpihan SPDP telah dibubarkan apabila tiga wakilnya, termasuk presiden Tan Sri William Mawan Ikom menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) kelmarin. Dua lagi Ahli Dewan Undangan Negeri yang mengikut jejak langkah Mawan ialah Rosey Yunus (Bekenu) dan Paulus Gumbang (Batu Danau).

Usaha Chong, bagi penganalisis politik, adalah peluru pertama selepas pilihan raya, untuk dilepaskan terhadap BN dalam percubaannya bagi mengelirukan masyarakat Cina.

Usaha tersebut juga dianggap sebagai percubaan untuk menyemarakkan sentimen pengundi terbabit agar benci terhadap Adenan kerana kononnya memperdaya dan membohongi mereka.

Terdapat 33 peratus daripada 1.13 juta pengundi Cina dalam pilihan raya lalu, dan daripada 82 kerusi, 15 adalah kerusi majoriti Cina. – Sarawakvoice.com