Friday, October 7, 2022

Politik personaliti Adenan pesona rakyat Sarawak

Secara Rawak

Kemenangan luar biasa Barisan Nasional (BN) Sarawak apabila mendapat  72 daripada 82 kerusi pada PRN Sarawak dicetuskan oleh  tsunami Adenan.

Angka ini bertuah kerana sama dengan umur Ketua Menteri Sarawak pada masa kini.

Dalam konteks politik Sarawak,  jenama politik personaliti dan   politik etnonasionalisme membawa  kemenangan besar ini. Perbincangan ini akan menjurus kepada aspek politik personaliti Adenan sebelum membincangkan aspek-aspek lain.

Politik personaliti

Dalam konteks Sarawak, politik personaliti Adenan  berjaya memikat rakyat Sarawak. Personaliti politik beliau tidak bersifat elitis. Beliau selalu digambarkan  selalu bersama rakyat. Minum, makan, membeli sayur dan  ikan di tempat-tempat awam dan diviralkan oleh lapisan rakyat yang dahagakan  pemimpin  yang berjiwa rakyat.

Penampilan bersahaja, tidak berpakaian mewah dan  ringkas berjaya meruntuhkan mitos bahawa pemimpin besar perlu  gah berpakaian, mahal jam tangan dan perlu protokol besar  untuk ditemui rakyat.

Ucapan beliau tidak berjela-jela,  ringkas tapi padat,  tidak  gemar menggunakan teks ucapan ‘buatan’ orang lain. Sering beliau nyatakan, ‘ucapan ingin beliau sampaikan adalah dari leluhur hati yang ikhlas’. Ucapan spontan ini lebih dapat menembusi hati hadirin.

Jenaka atau humour Adenan disampaikan  juga secara spontan meskipun berulang dan boleh dijangka, bagi khalayak yang tidak pernah mendengar jenaka Adenan akan pasti tidak kering gusi.   Rakyat sentiasa ingin mendengar beliau  berucap dan mendengar jenaka Adenan dalam keseriusan Adenan berucap di hadapan rakyat.

Ketika rehat seminggu selepas pilihan raya negeri, selain  memikirkan agenda 100 hari sebagai Ketua Menteri Sarawak,  unsur humor baru perlu dipelbagaikan dan disuntikkan kepada rakyat agar nilai wit dan wisdom lebih tajam.

Sifat manusiawi Adenan terserlah apabila tidak ‘bermusuh’ dengan pembangkang. Sebaliknya, beliau selalu mengingati rakyat bahawa musuh utama manusia ialah, kejahilan (ignorance), penyakit dan kemiskinan. Tidak  pula  beliau menyatakan  musuh utama rakyat ialah pembangkang atau individu-individu tertentu sebagaimana permainan politik dangkal sempit yang lain.

Sentuhan peribadi Adenan

Pada pilihan raya yang lepas,  tidak terjangkau  82  Dewan Undangan Negeri Sarawak yang  banyak dan luas.  Bagi DUN Belaga ia seluas gabungan negeri Kedah dan Pulau Pinang. Ini belum termasuk parlimen Hulu Rajang ialah seluas negeri Pahang.  Demikian luasnya geografi  Sarawak.

Keluasan geografi Sarawak menyebabkan Adenan menggunakan strategi  sentuhan peribadi (personal touch). Beliau  meminta wakilnya terdiri daripada keluarga kaum isterinya untuk pergi ke kawasan-kawasan DUN tanpa  pengetahuan wakil rakyat  kawasan itu sendiri.

Di situlah bantuan berupa beg sekolah misalnya dihulurkan kepada golongan miskin, ibu tunggal, anak yatim dan sebagainya.  Bantuan dihulurkan dan ucap salam Ketua Menteri disampaikan.  Rakyat yang menerimanya akan dapat merasai sendiri sentuhan peribadi daripada Ketua Menteri.

Kata seseorang yang menerimanya, inilah pertama kali beliau mendapat pemberian seumpama tersebut dalam seumur hidup beliau. Jadi, sentuhan peribadi Adenan ini berjaya meningkatkan lagi  imej politik personaliti beliau.

Satu wajah 

Ketika rakyat agak ‘seram’ melihat wajah serius Adenan, beliau sendiri selalu memberitahu bahawa  wajahnya itu ialah anugerah Allah.  Beliau menyatakan secara berseloroh: “Saya hanya satu muka sahaja, itu lebih baik. Tetapi saya tidak ada dua muka atau bermuka-muka’.

Politik berhemah tinggi beliau juga terserlah apabila  beliau membantu melangsaikan bil perubatan Wong Ho Leng  daripada DAP yang merupakan pembangkang paling lantang Sarawak.

Begitu juga, beliau berusaha membantu Watson Nyambek apabila tersiarnya kisah tersebut di media.  Nilai manusiawi  tanpa mengira bangsa dan agama memberikan persona tinggi terhadap politik personaliti Adenan.

Ternyata, politik personaliti Adenan memikat  hati rakyat Sarawak untuk terus mendukung   Adenan Satem.

Sebab itu, dengan yakin dan berani Adenan memberitahu rakyat Sarawak, “jikalau tidak suka calon wakil rakyat yang dipilih itu, ingatlah kepada saya (Adenan).”

Yang sudah pasti, kata-kata itu  sukar diungkapkan pada kempen pilihan raya kecil di Kuala Kangsar, Perak  dan  Sungai Besar Selangor yang bakal diadakan tidak lama lagi. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru